Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Sebanyak 136 premis tahfiz persendirian telah didaftarkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di seluruh negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, sehingga kini hanya tinggal 56 premis di seluruh negeri ini masih dalam proses untuk didaftarkan.
“Kategori kedua iaitu (pusat tahfiz) persendirian. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, ini susah sikit sebab persendirian ini dia bina, dia buat tanpa perancangan (khusus) hanya perancangan sendiri.
“Yang kerajaan (pusat tahfiz) tadi, dia ada perancangan melalui pihak bomba, kerajaan tempatan, dan pelbagai pihak yang berwajib bagi membantu supaya premis itu sesuai untuk menjadi tempat pembelajaran.
“Jadi menjadi kesukaran kerana yang bersendirian ini, timbul isu pendaftaran. Walaupun demikian, sebanyak 136 premis telah berjaya didaftarkan di bawah Majlis Ugama Islam Pahang, dan di seluruh Negeri Pahang hanya tinggal lagi sebanyak 56 buah premis yang masih dalam proses untuk didaftarkan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membantu membangunkan pusat tahfiz dan madrasah di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta tahun lepas.
“Kerajaan Negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan telah bekerjasama membantu juga tahfiz-tahfiz ataupun madrasah-madrasah ini sebanyak 31 buah.
“Tahun lepas sahaja telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM sebanyak RM3.5 juta bagi memastikan infra itu dapat dibantu dan dibangunkan dengan sebaik mungkin.
“Dalam waktu yang sama Kerajaan Negeri juga melalui IM Pahang telah membantu setiap maahad tahfiz yang berdaftar ini iaitu 136 buah dengan memberi RM2,000 pada setiap maahad tahfiz dan perkara ini pun telah berlangsung tiga tahun dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

