Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) terus memperkukuh pembangunan bakat sukan di peringkat sekolah dengan melaksanakan 15 program pencarian bakat atlet murid setakat Julai lalu.
Program berkenaan membabitkan penyertaan seramai 3,389 murid di mana daripada jumlah itu, seramai 271 atlet baharu telah dipilih menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih MSP.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pencapaian ini dipacu oleh peningkatan peruntukan bagi program pembangunan bakat kepada RM830,000 bagi tahun ini, berbanding RM600,000 pada tahun lalu dengan kenaikan sebanyak 38.3 peratus.
“Mulai tahun 2025 juga, usaha memperkukuhkan pencarian bakat dari kalangan atlet murid dilaksanakan dengan lebih sistematik iaitu dengan inisiatif terbaru melantik seramai 26 jurulatih sambilan di kalangan guru.
“Melalui inisiatif ini, elaun sekurang-kurangnya RM500 bergantung kepada tahap kelayakan setiap jurulatih,” katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, MSP telah membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan bakat sukan di peringkat sekolah melalui pelbagai inisiatif strategik.
“Antara usaha utama ialah pelaksanaan program Pahang Pride Athlete pada tahun 2023 yang menyaksikan 1,000 atlet pelajar menerima insentif RM300 seorang bagi menampung kos latihan dan persiapan menyertai kejohanan besar seperti SUKMA. Inisiatif ini diteruskan sehingga tahun 2025 dengan penjenamaan semula kepada Inisiatif Atlet Makmur,” ujarnya.
Selain itu katanya, bagi memastikan pembangunan bakat dapat berjalan seiring dengan kemudahan yang mencukupi, MSP merancang menubuhkan Dana Pembangunan Sukan Akar Umbi Pahang yang akan digabungkan melalui peruntukan kerajaan negeri, sumbangan sektor swasta atau GLC menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta geran padanan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Dana ini boleh digunakan untuk meningkatkan fasiliti sukan di sekolah, menyediakan peralatan latihan moden serta membina gelanggang pelbagai guna di kawasan luar bandar,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, walaupun peruntukan khusus atlet murid terletak di bawah kawalan Jabatan Pendidikan, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat atlet orang kurang upaya (OKU) melalui program Inspire I-Talent bagi mengesan potensi mereka untuk diketengahkan ke kejohanan seperti Para SUKMA. -PAHANGMEDIA

