CAMERON HIGHLANDS, 23 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru para pekebun dan petani yang mengusahakan tanaman secara rumah hijau (green house) di Cameron Highlands supaya mengamalkan kaedah pertanian tanpa penggunaan racun serangga serta bahan kimia berbahaya.
Paduka Baginda bertitah, amalan pertanian yang lebih selamat, moden dan mesra alam amat penting bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti tinggi, selamat dimakan serta mampu memelihara kelestarian alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

Menurut Paduka Baginda, Kerajaan Belanda bersama beberapa syarikat dari negara berkenaan telah banyak berkongsi input, teknologi serta kaedah pertanian moden kepada para petani di Cameron Highlands dalam usaha meningkatkan mutu dan produktiviti hasil pertanian tempatan.
Baginda bertitah, pendekatan pertanian moden yang diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi pintar dan kaedah kawalan biologi mampu membantu para petani mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga dan bahan kimia berbahaya.
Sehubungan itu, Paduka Baginda turut menyarankan agar Kerajaan Negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus mengkaji dan memperkenalkan kaedah baharu dalam sektor pertanian moden bagi meningkatkan keyakinan para petani di negeri ini untuk beralih kepada sistem pertanian yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.

Menurut Baginda lagi, usaha tersebut penting bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman yang lebih berkualiti, berdaya saing serta kompetitif untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan sektor pertanian negeri sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berharap para petani di Pahang dapat memanfaatkan segala ilmu, teknologi dan kepakaran yang dikongsikan demi memastikan sektor pertanian di Cameron Highlands terus berkembang secara mampan, moden dan berdaya saing.-PAHANGMEDIA

