Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan pembangunan produk dan aktiviti pelancongan baharu di daerah Temerloh.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, ini berdasarkan potensi Temerloh menjadi hab pelancongan terkemuka.
“Penganjuran Acara Pelancongan secara tahunan antaranya Festival Kesenian Peribumi Malaysia pada 18 hingga 20 Jun 2025; Pahang Ultra (6-7 September 2025); Program Senam Seni 2.0 Peringkat Negeri Pahang (6 September 2025)
“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM191,000 bagi menyokong penganjuran enam program pelancongan yang dirancang di Temerloh iaitu Pertandingan Memanah 3D Piala Menteri Besar Pahang; Pertandingan Petanque Double Terbuka Piala Menteri Besar Pahang; Pertandingan Dart Piala Menteri Besar Pahang; Sambutan Ambang Merdeka; Karnival Masakan Ikan Patin; dan Pameran Kereta dan Motor Klasik.
“Berdasarkan data rasmi yang direkodkan, jumlah keseluruhan ketibaan pelancong ke daerah Temerloh telah mencatatkan seramai 300,250 orang bagi tahun 2023 dan 286,038 orang bagi tahun 2024. Angka ini merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke daerah berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kursus telah diadakan oleh Kerajaan Negeri yang turut melibatkan daerah Temerloh dalam usaha memperkukuhkan sektor pelancongan di Temerloh.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang turut menambah baik infrastruktur pelancongan melalui pembangunan dan naik taraf kemudahan di lokasi pelancongan utama seperti Bandar Temerloh, Titik Tengah Semenanjung Malaysia, Esplanade Temerloh dan sebagainya.
“Kerajaan Negeri Pahang turut menjalankan pameran pelancongan bagi memperkenalkan keunikan dan daya tarikan pelancongan negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan lawatan suai kenal bagi pengusaha pelancongan dari negara terpilih bagi memberi pendedahan dan mempromosikan destinasi pelancongan sedia ada dan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB. Hassanuddin Salim pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

