Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Sebanyak 41,830 orang peneroka FELDA atau 97 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka di negeri ini telah menerima geran hak milik oleh Kerajaan Negeri Pahang sehingga kini dan bakinya akan menerima selewatnya hujung tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, hanya berbaki 1,296 peneroka atau 3 peratus sahaja yang masih belum menerima geran hak milik ini.
“Secara pecahan mengikut wilayah FELDA di Pahang, di Wilayah Kuantan mempunyai 15,050 peneroka, di mana 13,989 telah terima, dan 1,061 belum terima. Di Wilayah Mempaga, terdapat seramai 13,119 peneroka, dengan 12,935 telah terima, dan bakinya 184 belum terima. Di Wilayah Jengka ada 14,957 peneroka, 14,906 telah terima, dan bakinya 51 belum terima.
“Baki peneroka ini telah pun berdaftar dalam Buku ROH (Register of Holdings) sejak awal kemasukan ke rancangan FELDA, yang selaras dengan Seksyen 12 Akta 530.
“Pihak PTG Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah, serta FELDA menjangkakan baki ini akan diselesaikan sepenuhnya pada penghujung tahun 2025,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah menganjurkan Majlis Penyerahan Hak Milik di dua lokasi pada tahun ini.
“Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri Pahang telah menganjurkan Majlis Penyerahan Hak Milik di dua lokasi iaitu di Dewan Semai Bakti, FELDA Triang 3 pada 19 Mei 2025 melibatkan penyerahan hak milik kepada 195 peneroka FELDA Triang 3.
“Di SMK Lepar Hilir pada 8 Ogos 2025 melibatkan penyerahan hak milik kepada 157 peneroka FELDA Lepar Hilir 4; 51 peneroka FELDA Lepar Hilir 1; empat peneroka FELDA Lepar Hilir 3; 21 peneroka FELDA Bukit Sagu 1; sembilan peneroka FELDA Bukit Sagu 2; dan empat peneroka FELDA Bukit Sagu.
“Majlis-majlis ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama FELDA bagi menyelesaikan baki pemberian geran hak milik kepada peneroka di seluruh negeri, mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan memastikan semua langkah pentadbiran dan teknikal dilaksanakan dengan lancar supaya baki peneroka yang masih belum menerima geran hak milik akan mendapat dokumen tersebut dalam masa ditetapkan sekaligus menjamin kepastian hak milik dan kepentingan mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzly Mohd Ramly pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

