Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Pahang mensasarkan untuk menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Pantai Timur melalui laluan logistik East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuantan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, inisiatif ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelaburan asing dan tempatan.
“Teknologi enjin EV dan enjin hidrogen merupakan dua pendekatan utama dalam usaha mengurangkan pencemaran karbon. Dalam konteks Malaysia secara keseluruhan dan Pahang khususnya, potensi pelaburan dalam sektor automotif berteknologi tinggi amat strategik, menyokong aspirasi ekonomi hijau dan neutral karbon menjelang 2050.
“Ia seiring dengan National Energy Transition Roadmap (NETR) 2030 yang menyasarkan penggunaan EV sebanyak 38 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.
“Beberapa cadangan pelaburan, terutamanya dari China, telah diterima dan sedang dinilai dari segi kebolehlaksanaan, termasuk ketersediaan tapak, kemudahan utiliti, serta insentif yang boleh ditawarkan kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang, melalui Invest Pahang dan kerjasama dengan agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut memainkan peranan penting menarik pelaburan dan membangunkan ekosistem automotif hijau.
“Antara inisiatif utama yang digerakkan ialah pengeluaran dan pemasangan EV di mana Kerajaan Negeri menyokong pelaksanaan pemasangan tempatan kenderaan elektrik seperti Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC di Pekan.
“Pembangunan stesen pengecasan EV di seluruh negeri melalui kerjasama strategik yang difasilitasi oleh Kerajaan Negeri, syarikat Volt Industries melabur sekitar RM250 juta untuk membina 50 stesen pengecas EV di seluruh Pahang dalam tempoh 2 hingga 3 tahun di mana Bentong menjadi lokasi perintis dengan 12 port pengecasan dengan majlis pecah tanah pada 18 November 2024.
“TVET dan latihan EV di mana Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pusat pengajian tinggi dan institusi TVET terutamanya Pahang Skills yang menawarkan kursus berfokuskan tenaga mampan seperti Sistem Grid-Connected Photovoltaic (GCPV) untuk Wireman & Chargeman, yang berkait rapat dengan teknologi EV bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam teknologi automotif hijau,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga turut menyoking pelaburan berkaitan pembangunan hidrogen melalui penyediaan tanah, fasiliti, dan insentif pelaburan.
“Pembangunan Green Hydrogen, di peringkat nasional, Malaysia menyasarkan pengeluaran 2 juta tan hidrogen setahun menjelang 2030 dan potensi meningkat kepada 16 juta tan menjelang 2050 melalui Pelan Ekonomi dan Teknologi Hidrogen(HETR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

