Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Sebanyak 600 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan untuk rakyat Negeri Pahang apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, keseluruhannya diunjurkan sebanyak 1,800 tenaga kerja diperlukan bagi menyokong fasa pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL.
“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan lebih kurang 600 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan khususnya di negeri Pahang.
“Kekosongan jawatan ini meliputi pelbagai kategori dan tahap pengalaman kerja, termasuk tidak terhad kepada jawatan seperti juruteknik dan jurutera sistem rel, Pegawai Tiket, Krew Kereta api, Pengurus Stesen, Pegawai Bertugas Stesen, Petugas Isyarat (Signalman) dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abd Aziz Haji Mat Kiram pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Tambahnya, penempatan tenaga kerja berkenaan akan melibatkan stesen-stesen ECRL di Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh, dan Bentong.
“Selain itu, penempatan juga akan dibuat di Pusat Kawalan Operasi (Operation Control Centre, OCC) di Kuantan Port City, serta di depot dan pangkalan penyelenggaraan (maintenance bases) yang berkaitan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

