Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Seramai 30,491 rakyat di negeri ini menerima Skim Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan pelbagai kategori bantuan bagi golongan yang berkeperluan, setakat Jun tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, bantuan tersebut diberikan kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi membantu penerima meneruskan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Katanya, pecahan penerima meliputi 2,885 penerima Bantuan Kanak-kanak, 6,129 penerima Bantuan Warga Emas, 6,032 penerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), 7,232 penerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), 2,599 penerima Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan 2,614 penerima Bantuan Am.
“Pemberian bantuan ini berdasarkan prinsip kerja sosial untuk meningkatkan kefungsian sosial mereka. Waris boleh membuat permohonan perkhidmatan jabatan dan permohonan akan disiasat serta dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat kelayakan bantuan kewangan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Tuan Hasan Omar pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan selain bantuan kewangan, waris yang kehilangan ahli keluarga, terutamanya melibatkan golongan B40 atau kematian mengejut juga boleh memohon perkhidmatan intervensi kaunseling melalui JKM.
“Selain dari itu, JKM juga menyediakan perkhidmatan intervensi kaunseling kepada waris yang mengalami trauma akibat kehilangan secara tiba-tiba, termasuk kes bunuh diri, kemalangan atau tragedi bencana,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menyediakan sumbangan bagi pengurusan jenazah melibatkan penerima bantuan bulanan MUIP, jenazah tiada waris atau tidak dituntut yang beragama Islam serta golongan mualaf yang memerlukan.
“Sumbangan bagi pengurusan jenazah tersebut akan disalurkan kepada masjid yang menguruskan jenazah berkenaan dengan kadar tidak melebihi RM2,000,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

