Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 OGOS 2025 : 80 ahli melibatkan empat Pasukan Bomba Komuniti daripada empat buah kampung di Pulau Tioman dilatih bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di kawasan yang tidak mempunyai balai bomba.
Menurut satu kenyataan media oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, kesemua ahli dilatih dan berdaftar ini telah mengikuti latihan asas sebagai responden pertama.
“Majlis ini menjadi platform penting bagi memperkukuhkan hubungan antara JBPM dan masyarakat setempat, khususnya dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di kawasan yang tidak mempunyai balai bomba.
“Dalam majlis tersebut, Pengarah JBPM Negeri Pahang telah menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan Pasukan Bomba Komuniti kepada empat pasukan yang telah dilatih dan berdaftar, melibatkan 80 orang ahli daripada Kampung Mukut (10 orang), Kampung Air Batang (23 orang), Kampung Salang (10 orang), dan Kampung Juara (37 orang).
“Ahli-ahli pasukan ini telah mengikuti latihan asas sebagai first responder, termasuk kemahiran mengendalikan alat pemadam api, bantuan pernafasan (CPR), pertolongan cemas, dan asas keselamatan di air,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut penubuhan pasukan di empat buah kampung ini merupakan langkah strategik bagi memastikan tindakan awal dapat diambil ketika kecemasan.

“Berdasarkan profil risiko, keempat-empat kampung ini merupakan kawasan tumpuan pelancong yang menerima kemasukan sehingga ratusan pengunjung dalam satu masa.
“Sebagai contoh, Kampung Juara mempunyai 23 resort berdaftar dengan kapasiti maksimum 450 pelancong, manakala Kampung Salang menerima sehingga 400 pelancong pada satu-satu masa.
“Lokasi kampung yang hanya dihubungkan melalui jalan darat, laut atau udara, serta jarak dari Balai Bomba di Kampung Tekek, menjadikan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti sebagai langkah strategik bagi memastikan tindakan awal dapat diambil ketika kecemasan,” katanya.
Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS. Dato’ Mohd Razam Taja Rahim turut menegaskan bahawa keselamatan komuniti adalah tanggungjawab bersama, dan JBPM akan terus memberikan latihan serta bimbingan berterusan kepada Pasukan Bomba Komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap terbaik.
Program Jalinan Mesra bersama komuniti Pulau Tioman pada 11 hingga 12 Ogos anjuran JBPM ini turut memberikan Pos Alat Pemadam Api di setiap kampung yang terlibat bagi meningkatkan tahap keselamatan komuniti.
Menurut kenyataan tersebut, program ini juga sebagai lambang komitmen bersama untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja indah, tetapi juga selamat untuk didiami dan dikunjungi. -PAHANGMEDIA

