Oleh: Norhafizan Zulkifli & Syaherah Azmi
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 13 OGOS 2025 : Seorang pekebun durian haram mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh secara haram tanah milik Kerajaan Negeri Pahang di Sungai Pertang, Mukim Gali, di sini tanpa kebenaran yang sah pada tahun lalu.
Tertuduh, Yong Lain Kien, 47, membuat pengakuan terbabit dihadapan Hakim, Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang di koordinat (U 3°44’18.83″ T102°1’40.07″) dan (U 3°44’18.23″ T 102°1’40.90′) di Sungai Pertang, Mukim Gali di sini pada pada jam 11.19 pagi, 9 Ogos 2024.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara Revised 2020 (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada tarikh kejadian, sepasukan anggota UPNP, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Hutan Daerah Raub telah membuat serbuan di sebuah rumah kebun dan kawasan tanaman pokok durian di Sungai Pertang, Mukim Gali, di sini.
Empat lelaki warga Myanmar ditemui melakukan kerja mengecat tiang bangunan serta mengikat buah durian. Dua daripadanya melarikan diri manakala dua lagi bersama seorang lelaki warga tempatan berjaya ditahan.
Siasatan mendapati warga Myanmar yang ditahan terbabit diupah tertuduh untuk menjaga kebun, sementara lelaki tempatan itu diupah untuk membina rumah kongsi.
Turut dirampas ialah dua buah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, dua buah motosikal Honda EX5 dan Honda C70, serta 22 unit alatan pertanian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa UPNP, Hasmadi Mahyudin dan Nurul Ain Wozzari, yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan berikutan tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengaan seorang penjamin selain mentapkan 24 September ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. -PAHANGMEDIA

