Oleh : Syaherah Azmi & Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 OGOS 2025 : Prestasi Ahli Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran di negeri ini kini berada pada tahap membanggakan apabila kutipan hasil mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus, melepasi sasaran awal.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu menunjukkan peranan ahli-ahli majlis sebagai mata dan telinga kerajaan negeri berjaya membantu menyampaikan permasalahan rakyat untuk tindakan sewajarnya

“Setakat ni, alhamdulillah prestasi mereka baik… prestasi majlis daerah, majlis perbandaran boleh dikatakan semua baik sebab tu ada peningkatan 12 peratus dalam kutipan hasil.
“Saya harap perkara ni mereka jangan berada di zon selesa… teruskan lagi dan seminar tu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri majlis perasmian seminar ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Siri Ke-2 bertempat di Dewan Astana, Grand Darul Makmur, Kuantan, di sini hari ini.

Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, seminar yang dianjurkan berkenaan merupakan hasil cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Seminar terbabit berperanan sebagai platform untuk menyegarkan kembali pengetahuan di samping memperkukuh silaturahim serta menambah baik mutu perkhidmatan PBT.
Lebih membanggakan, katanya, penganjuran kali ini turut disertai seramai 13 peserta dari luar Pahang bagi melihat kejayaan yang telah dicapai oleh PBT negeri ini.
“Kita juga berbangga apabila empat daerah di Pahang dinobatkan sebagai daerah bahagia dan saya berharap jumlah itu dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

