Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 09 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan pemberian secara terus komputer riba percuma kepada pelajar Orang Asli yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, pemberian ini diumumkan khas sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia.

“Pemberian laptop percuma ini dulu dah ada tapi kena mohon, sekarang ini secara automatik. Kalau dia dapat masuk IPTA, kita terus bagi.
“Kalau dulu dia mohon, baru kita bagi. Maknanya sekarang ini dalam fikiran mereka, bila saya umum macam tu, anak-anak mereka yang masuk IPTA, secara automatik mendapat laptop.

“Kalau dulu mungkin ada yang malas nak minta, atau yang ada duit, beli sendiri. Tapi sekarang ini tak perlu fikir dah pasal laptop. Kalau anak dia masuk universiti, confirm dapat. Tak ada limit, istimewa sempena Hari Orang Asli Sedunia,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang memberi penekanan terhadap pendidikan Orang Asli di negeri ini memandangkan hanya dengan pengetahuan sahaja dapat mengubah kehidupan.
“Saya memberi penekanan terhadap pendidikan kerana kita semua percaya hanya melalui pendidikan sahaja dapat mengubah nasib sesuatu kaum.

“Sebab itu saya beri penekanan supaya (Tok) Batin-batin yang beradat dan kepimpinan Orang Asli melihat kadar keciciran dalam kalangan masyarakat Orang Asli harus diminimakan. Kalau boleh kita kosongkan.
“Untuk usaha ke arah itu, bukan sahaja bercakap, saya telah meminta Yayasan Pahang untuk melihat perkara ini dan alhamdulillah saya mendapat laporan bahawa kadar buta huruf di kalangan masyarakat Orang Asli telah dapat diminimakan malahan yang celik huruf semakin hari semakin meningkat yang bagi saya ini satu pencapaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di RPS Bukit Serok, Muadzam Shah.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

