Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 10 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bertekad memastikan pembangunan di negeri ini bersifat seimbang dan menyantuni semua golongan rakyat.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pelaksanaan pembangunan di bawah gagasan Aspirasi Pahang 1st ini juga selari dengan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Madani : Rakyat Disantuni.

“Tema Malaysia Madani : Rakyat Disantuni sangat dekat dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st yang saya perkenalkan. Ini kerana menerusi Aspirasi Pahang 1st, Kita mahu pembangunan yang menyantuni rakyat secara menyeluruh, tidak kira di mana mereka tinggal, siapa mereka atau apa latar belakang mereka.
“Pembangunan di bandar mesti seiring dengan kemajuan di desa. Negeri kita tidak boleh hanya megah di Kuantan atau Bentong sahaja, tetapi juga mesti gemilang di Bera, Maran, Lipis, Jerantut, dan Rompin.

“Di bawah gagasan Aspirasi Pahang 1st, Kerajaan Negeri bertekad memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat seimbang dan menyantuni semua golongan rakyat. Kita pastikan rakyat di Negeri Pahang tiada siapa yang tercicir dan tiada daerah yang tertinggal, dan kita mahukan semua rakyat di Negeri Pahang agar mendapat pembelaan dan bantuan daripada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau dalam ucapannya turut menyeru rakyat di negeri ini untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di setiap kediaman, premis perniagaan, agensi, dan juga jalan utama memandangkan ia merupakan simbolik ikrar kita dalam mempertahankan tanah air.

“Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, tetapi helaian cerita. Setiap warna, jalur, dan bintang membawa makna yang mengikat hati rakyat Malaysia. Putihnya lambang kesucian, birunya tanda perpaduan, merahnya keberanian, dan kuningnya simbol kedaulatan raja-raja kita.
“Setiap kali kita mengibarkannya, ia adalah sumpah setia untuk terus mempertahankan tanah air. Saya menyeru, mari kita kibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, sekolah, pejabat, kedai serta di jalan-jalan utama.

“Biarlah dari hujung Kampung Raja Cameron Highlands hingga ke Pulau Tioman, Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang berkibar megah, melambai-lambai menyampaikan mesej kasih kita kepada tanah air,” katanya.
Tambah beliau, erti kemerdekaan juga merupakan kebebasan daripada penjajahan minda dan bukan hanya penjajahan pihak luar semata-mata.
“Dan ingatlah, kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan luar, tetapi bebas daripada penjajahan minda, bebas daripada kebencian, hasad dengki dan perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Muadzam Shah.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

