Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 7 OGOS 2025 : Lawatan kerja ke Kilang Sawit Bukit Mendi di sini hari ini membuka ruang secara langsung kepada peneroka dan anak peneroka untuk mendapatkan penjelasan berkenaan proses penghasilan dan penerimaan Buah Tandan Segar (BTS) oleh pihak kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, lawatan itu merupakan pendekatan terbaik yang membolehkan pihak peneroka hadir sendiri ke kilang bersama BTS masing-masing bagi melihat sendiri proses penilaian serta isu berkaitan penerimaan atau penolakan buah.

“Ini antara pendekatan yang sangat baik. Jika ada ketidakpuasan hati, para peneroka boleh datang terus ke kilang, bawa buah masing-masing dan lihat bagaimana proses grading dijalankan serta berbincang terus sekiranya ada sebarang masalah,” katanya.
Program lawatan itu turut disertai Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Dalam masa sama, YB. Dato’ Amizar turut menekankan kepentingan kerjasama antara FELDA dan FGV bagi membantu para peneroka mencapai sasaran grading 21 peratus BTS, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
“Kualiti grading bermula dari ladang, daripada mereka yang menuai buah. Namun, proses akhirnya di kilang. Sebab itu kita minta FELDA bantu dari segi pembajaan, sistem penjagaan dan input yang memberi kesan kepada kualiti buah,” katanya.

Tambahnya, meskipun faktor cuaca turut mempengaruhi hasil, penjagaan ladang dan penggunaan baja yang berkualiti tetap memainkan peranan penting dalam menentukan penghasilan buah sawit yang baik.
Dalam perkembangan lain, YB. Dato’ Amizar memaklumkan bahawa satu cadangan baharu akan diumumkan oleh pihak pengurusan FELDA khusus untuk Wilayah Mempaga dalam masa terdekat.
“Cadangan ini dijangka dapat menambah baik hasil serta pendapatan peneroka di wilayah berkenaan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

