Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 07 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghentikan pengeluaran permit penjualan rokok elektronik mengikut waktu yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada Disember depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim, ini sebagai bukti Kerajaan Negeri Pahang komited dalam menangani isu penggunaan dan penjualan produk merokok khususnya rokok elektronik di negeri ini.
“Hari ini kita telah membuat peluncuran Operasi Selamat Paru-Paru (OPS Selamat PaPa) peringkat Negeri Pahang untuk memperkukuhkan penguatkuasaan Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).

“Operasi ini mencerminkan komitmen serius Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu penggunaan dan penjualan produk merokok, khasnya rokok elektronik (vape).
“Kita berharap semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan kuasa yang ada untuk tidak lagi mengeluarkan permit untuk penjualan vape ini, dan kita akan bagi sehingga Disember ini,” katanya.
Menurut beliau, operasi ini memberi tumpuan kepada beberapa larangan utama di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Operasi Selamat PaPa merupakan satu operasi bersepadu yang memberi tumpuan kepada larangan, terutamanya penjualan rokok kepada orang awam yang orang belum dewasa (OBD), pengiklanan, promosi dan tajaan, penjualan dalam talian, penjualan produk merokok dalam jarak 40 meter dari institusi pendidikan dan pameran penjualan produk merokok.

“Dengan wujudnya penguatkuasaan ini, ianya lebih memudahkan pihak berkuasa untuk melaksanakan tugasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Peluncuran Operasi Selamat Paru-Paru (OPS Selamat PaPa) di Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, hari ini.
Turut hadir, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Bahagian Kesihatan Awam, JKN Pahang, YH. Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad, dan Pengarah Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara Negeri Pahang, Encik Muhammad Zulkifli Shari. -PAHANGMEDIA

