Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 OGOS 2025 : Penjawat awam di negeri ini merupakan benteng pertahanan dalam mempertahan maruah pentadbiran Kerajaan Negeri daripada menjadi mangsa manipulasi, tohmahan dan persepsi yang mengelirukan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penjawat awam juga perlu menampilkan prestasi dan penyampaian yang meyakinkan rakyat.
“Hari ini, kita tidak hanya menghadapi cabaran pengurusan dan dasar. Kita juga berdepan dengan serangan persepsi dan gelombang fitnah yang mampu menggoncang kepercayaan rakyat.
“Di sinilah letaknya peranan besar penjawat awam sebagai benteng pertahanan kerajaan negeri dalam mempertahan maruah pentadbiran daripada manipulasi, tohmahan dan persepsi yang mengelirukan.
“Serangan hari ini bukan lagi melalui demonstrasi atau media cetak, tetapi melalui media sosial. Maka, kita mesti hadir bukan dengan kata-kata semata-mata, tetapi dengan prestasi dan penyampaian yang meyakinkan,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam juga perlu menjaga setiap perbuatan dan pertuturan bagi mengelakkan berlaku kesalahfahaman oleh rakyat terhadap tindakan yang dilakukan.
“Setiap tindak-tanduk kita menjadi tafsiran rakyat. Justeru, jagalah etika, pertuturan dan tanggungjawab. Kerana hari ini, kesilapan kecil boleh menjadi fitnah besar, dan kebaikan yang ikhlas pun boleh disalahtafsir.
“Dalam menghadapi serangan persepsi, kita tidak boleh berlawan dengan emosi. Kita jawab dengan fakta, integriti dan keberkesanan perkhidmatan. Kerana itulah senjata kita yang paling ampuh.
“Kita sedang berada dalam fasa reformasi pentadbiran. Rakyat menilai kita bukan semata-mata atas dasar yang kita luluskan. Tetapi pada kecekapan pelaksanaan, ketelusan sistem dan kemesraan pencapaian,” katanya.

Tambah beliau, penjawat awam masa kini perlu menjadi agen perubahan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil memberi manfaat kepada rakyat secara terus.
“Dalam kerangka ini, penjawat awam perlu menjadi lebih progresif, efisien dan berintegriti. Kita mesti membuang budaya kerja secara silo, birokrasi melampau, dan pendekatan statik yang tidak lagi relevan.
“Penjawat awam kini perlu menjadi agen perubahan, bukan sekadar pengikut perubahan. Maka, setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil mesti dilihat dalam lensa keberhasilan yang memberi nilai kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut meminta semua penjawat awam di negeri ini untuk menjiwai tugas sebagai satu amanah, bukan sekadar tanggungjawab semata-mata selari dengan Aspirasi Cemerlang Pahang 1st.

“Ia menuntut kita untuk melihat pekerjaan bukan sebagai beban. Tetapi peluang untuk memberi makna kepada kehidupan orang lain.
Bekerjalah dengan perilaku yang elok, berbahasalah dengan santun, dan layani setiap insan dengan penuh hemah. Kerana pada akhlak kita, terpancar martabat sebuah khidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang Tahun 2025 di Dewan Utama Swiss-bel Hotel.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Seramai 55 penjawat awam cemerlang serta 6 pesara yang telah mencurahkan khidmat dengan setia dan berintegriti kepada negeri Pahang telah diraikan dalam majlis ini. -PAHANGMEDIA

