Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM7.3 juta setahun bagi pemberian air percuma kepada kira-kira 38,000 pengguna di negeri ini melalui Program Air Percuma Pahang 1st.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pelaksanaan inisiatif ini dilakukan dibawah pelaksanaan program Rebat Air Makmur (RAM) yang dijenamakan semula.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan program Rebat Air Makmur (RAM) yang dijenamakan semula dengan nama Program Air Percuma Pahang 1st, selaras dengan pelancaran Aspirasi Pahang 1st, baru-baru ini.
“Langkah ini diambil berdasarkan kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang semakin baik.
“Pelaksanaan inisiatif ini juga melibatkan pemberian air percuma sebanyak 20 kubik meter (m3) pertama setiap bulan kepada golongan sasar yang dikenal pasti, dengan peruntukan kewangan sebanyak RM7.3 juta setahun serta memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 pengguna di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang bersetuju meneruskan langkah berkenaan bagi memastikan golongan sasar tidak terkesan dan dapat menikmati manfaat daripada inisiatif yang dilakukan ini.
“Kerajaan Negeri berharap langkah yang diambil akan memastikan golongan sasar tidak terkesan serta dapat menikmati manfaat inisiatif ini.
“Kerajaan Negeri pada masa yang sama berharap semua pengguna di Pahang dapat mengambil langkah penjimatan penggunaan air dan berusaha mengelakkan pembaziran,” katanya. -PAHANGMEDIA

