Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 02 OGOS 2025 : Program Kembara Muafakat Felda Pahang dan Jelajah Klinik Tok Wan yang diadakan di FELDA Sungai Koyan 1 semalam menerima sambutan dan maklum balas amat positif daripada masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan warga emas dan pesakit uzur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan program tersebut ternyata memberi kesan besar kepada penerima manfaat yang amat menghargai inisiatif Kerajaan Negeri berkenaan.
Katanya, berikutan maklumbalas yang baik Kerajaan Negeri merangka untuk meneruskan program seumpama itu di masa akan datang.
“Pogram hari ini Kembara Muafakat Felda dan Jelajah Klinik Tok Wan sangat baik. Kita telah kita adakan sebelum ini tetapi hari ini kita lancarkan secara rasmi.
“Kita ada tujuh kawasan yang kita dah pergi dan lapan termasuk di sini (Felda Sungai Koyan) dan saya sendiri hadir mengikuti ziarah Jelajah Klinik Tok Wan, dapat berbual dengan pesakit dan (mereka) sangat berterima kasih dan bersyukur Kerajaan Negeri membuat langkah sebegini.

“Mereka pun tidak terfikir yang doktor pun akan datang ke rumah mereka peralatan, membuat pemeriksaaan dan juga memberikan nasihat dan bimbingan kepada mereka dan ini adalah sesuaatu yang di luar jangkaan mereka dan ini InsyaAllah Kerajaan Negeri akan teruskan untuk di masa akan datang kerana mendapat maklum balas yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai melakukan Ziarah Kasih di tiga buah rumah di Felda Sungai Koyan 1,2 dan 3.
Ziarah Kasih berkenaan diadakan bersempena majlis Pelancaran Kembara Muafakat Felda Pahang dan Jelajah Klinik Tok Wan bertempat di Dewan Terbuka Laman Sejahtera FELDA Sungai Koyan 1, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa program itu menyasarkan warga FELDA yang memegang Kad Kesihatan Kasih Makmur dalam kalangan warga emas uzur, tidak mampu berjalan dan memerlukan rawatan di rumah.

“Kita beri kemudahan kepada mereka dan ini dalam masa sama boleh mengurangkan que (giliran menunggu) di Klinik Kesihatan Koyan, kalau di sinilah kan.
“Kalau tidak, mungkin mereka tidak dapat pergi ke sana, sudahlah tidak berapa sihat, uzur, tua dah tapi mereka sekarang ini tidak perlu lagi kerana sekarang kita sudah ada Kad Kesihatan Kasih Makmur.
“Sasaran kita adalah kepada mereka yang benar-benar uzur, yang sukar berjalan, menggunakan kerusi roda dan sebagainya. Mereka ini akan sentiada dipantau,” ujarnya lagi.
Sementara itu, YB Dato’ Amizar berkata, program berkenaan menyasarkan sembilan kawasan FELDA dan Sungai Koyan adalah lokasi kelapan yang telah dilaksanakan.
“Fungsinya adalah untuk bertemu dan mencari masyarakat penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur untuk kita menziarahi dan bawa doktor datang turun, satu perkara luar biasa lah.
“Biasa kita pergi ke klinik, hari ini doktor datang ke rumah. Kita sasarkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai Felda,” katanya.-PAHANGMEDIA

