Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 01 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri buat julung kalinya mengadakan Sambutan Hari Bapa Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang bertempat di Arena Jubli Perak, di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran sambutan yang bertemakan “Ayahku Kapten Keluarga” itu adalah bagi menyedarkan masyarakat bahawa bapa juga memainkan peranan penting dalam membentuk institusi keluarga yang harmoni dan sejahtera.
“Ini adalah julung-julung kali kita adakan supaya masyarakat tahu bapa juga berkorban untuk masa depan anak-anak.

“Jadi pengorbanan mereka ini selalu berada di belakang tabir dan yang selalu tampil ke depan adalah ibu atau wanita tetapi peranan bapa ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka ini tidak zahirkan… bapa jarang menangis tetapi hati mereka begitu komited untuk membawa keluarga yang lebih bahagia dan supaya anak-anak dapat maju dan mendapat kerjaya yang baik,” katanya selepas merasmikan sambutan berkenaan di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan dan barisan pimpinan setempat.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu merakamkan ucapan penghargaan kepada YB. Dato’ Sabariah, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang serta agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana menjayakan sambutan berkenaan.
Beliau dalam pada itu turut digalakkan agar diwujudkan persatuan untuk bapa di negeri ini bagi memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan kepada yang memerlukan.

“Itu adalah cadangan, mungkin bapa-bapa memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya, kita boleh menyalurkan bantuan. Dan sekiranya diperlukan, apa salahnya diwujudkan persatuan bapa sebab kita ada persatuan ibu tunggal,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama berharap kepada bapa di seluruh negeri ini terus memainkan peranan mereka dan menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab.
“Jadilah seorang bapa yang berguna kepada keluarga, bangsa dan negara dan juga kepasa Negeri Pahang. Saya menghargai (peranan) seorang bapa kerana saya juga seorang bapa,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

