Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 2 OGOS 2025 : Pendekatan baharu penganjuran Moh Karnival Makmur secara serentak bersama program Karnival Tanah Pahang dan Karnival Keusahawanan terbukti lebih efisien serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, konsep penganjuran secara tiga dalam satu ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah memudahkan semua pihak termasuk rakyat serta pihak penganjur.
“Kelainan Moh Karnival Makmur kali ini ada tiga dalam satu. Selalu kita buat berasingan. Moh Karnival Makmur berasing dengan Karnival Tanah dan Keusahawanan.

“Kita fikir bila kita sekalikan boleh menjimatkan masa, menjimatkan kos… orang datang sekali sahaja sebab kita semua sibuk, ada tugas masing-masing. Kalau macam saya nak pergi rasmi Karnival Tanah, Karnival Keusahawanan, Karnival Makmur… tiga kali satu daerah, kita ada 11 daerah, jadi 33 kali program, dah melibatkan 33 hari sebulan untuk itu sahaja.
“Jadi kalau kita sekalikan kita boleh menjimatkan masa, dan masa itu kita boleh tumpukan untuk kerja-kerja lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai merasmikan Majlis Santai Bersama-sama Tok Wan sempena Moh Karnival Makmur Cameron Highlands yang berlangsung di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Tanah Rata, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; serta ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, maklum balas positif daripada pengunjung menguatkan lagi tekad Kerajaan Negeri untuk meneruskan format ini pada masa akan datang.
“(Program) tiga dalam satu ini akan diteruskan kerana saya mendapat maklum balas pengunjung sangat berpuashati kerana mereka mendapat input yang banyak dari sumber-sumber yang berlainan.
“Banyak booth (reruai) yang saya dapat tengok di mana mereka boleh mendapat input dan melihat sendiri dan kalau yang berniaga, yang minat dalam bidang pertanian boleh datang dan melihat sendiri bagaimana cara-cara yang sebenarnya diajar.

“Disamping menjual dan sebagainya, ada program-program menuntut ilmu seperti mana kalau yang saya tengok ada yang nak tanam sayur-sayur organik menunjukkan baja yang betul,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat secara terus, malah mengukuhkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat melalui komunikasi secara bersemuka (face-to-face).
“Ini satu program yang sangat baik. Kita akan teruskan supaya kita lebih dekat dengan rakyat dan rakyat lebih dekat dengan kita dan dalam masa sama, ada face to face communication (komunikasi bersemuka) antara rakyat dengan apa jua mereka ingin tahu. Boleh dikatakan semuanya ada, agensi-agensi kerajaan yang penting-penting pun kita libat sama,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

