Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM700 juta setakat semalam.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, beliau optimis Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini.
“Bagi kutipan hasil sehingga semalam, kita dah berjaya mengutip hasil lebih RM700 juta. Dan insyaAllah kita mampu mencapai target memandangkan dah tiga tahun berturut-turut kita capai lebih RM1 bilion,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga telah berjaya mengurangkan bebanan hutang daripada RM3.2 bilion kepada RM900 juta melalui pelaksanaan pengurusan kewangan yang berkesan.
“Kita urus ketirisan dan kebocoran, kita berbelanja secara berhemat. Prinsip kita ialah belanja jangan boros, berjimat jangan sampai kedekut,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang dalam Belanjawan 2025 mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion dengan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding pada 2024. -PAHANGMEDIA

