Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 JULAI 2025 : Seramai 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini bakal menerima manfaat Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan yang diumumkan Kerajaan Negeri Pahang sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif khas itu merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada jasa dan pengorbanan pahlawan yang telah banyak berbakti mempertahankan keamanan negeri dan negara.
Katanya, inisiatif ini akan memanfaatkan 5,000 veteran ATM dan 5,000 veteran PDRM yang menetap di negeri Pahang, membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Ini membolehkan mereka pergi ke klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri. Ini juga boleh mengurangkan masa mereka que (beratur) di hospital kerajaan. Jadi saya harap mereka menggunakan kad ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Veteran ATM dan PDRM Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Timorra Venue, Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Menurut YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy, pada peringkat awal, kad kesihatan tersebut hanya diperuntukkan kepada 5,000 penerima, namun jumlah itu digandakan kepada 10,000 selepas mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang membolehkan pelaksanaannya diperluaskan.

“Ini tidak ada maknanya kalau dibandingkang dengan pengorbanan mereka semasa mereka berjuang menentang komunis, menjaga keamanan siang dan malam untuk mempertahankan negeri dan negara kita.
“Dan bagi saya sebenarnya (jumlah) tidak memadai tetapi sebagai tanda penghargaan, penghormatan kepada mereka itu sahaja kita mampu berikan,” ujarnya.
Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan akan mula diedarkan kepada penerima bermula tahun hadapan.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan geran tahunan kepada persatuan veteran tenteradan polis peringkat negeri, iaitu sebanyak RM50,000 ringgit kepada Persatuan Veteran ATM dan RM50,000 ringgit kepada Persatuan Veteran PDRM bagi melaksanakan aktiviti masing-masing.
“Dan InsyaAllah, walaupun tagline (cogan kata) saya ‘tiada janji, lihat bukti’ tetapi saya akan bagi jaminan bahawa tentera dan polis veteran di negeri ini kita tidak akan pinggirkan dan kita akan melihat kebajikan mereka daripada masa ke semasa,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

