Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 29 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan sebuah Klinik Kesihatan baharu di Bukit Fraser bagi menggantikan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa sedia ada yang dilihat tidak lagi sesuai dari segi reka bentuk dan kemudahan untuk operasi harian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, cadangan tersebut dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang Bil. 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Tourism Pahang), di sini semalam.
YB. Dato’ Ir. Razali turut mengadakan tinjauan ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser dan Klinik Desa Bukit Fraser berkenaan bagi melihat keadaan semasa kedua-dua buah klinik tersebut.
Menurutnya, keadaan bangunan Klinik Kesihatan Bukit Fraser ketika ini menyukarkan petugas untuk menguruskan pesakit, selain menyukarkan pesakit yang mempunyai kekangaan pergerakan
“Bangunan Klinik Kesihatan sedia ada agak tinggi dan perlu menggunakan tangga. Jika pesakit mengalami masalah pergerakan atau mempunyai saiz tubuh obes, ia menyukarkan proses pemindahan kerana terpaksa diangkat dan diusung naik,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JPNP) telah mengenal pasti tapak cadangan baharu iaitu di Banglo Temerloh Bukit Fraser, bagi membina klinik tersebut secara menyeluruh.
“Walaupun tapak telah dikenalpasti, ia melibatkan kerja-kerja pengukuhan cerun yang memerlukan kos tinggi. Namun, kita tetap berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan pembinaan klinik baharu ini,” ujarnya.
Cadangan pembinaan tersebut akan melibatkan keluasan 0.48 ekar dengan anggaran kos sekitar RM20 juta dan bakal menempatkan pelbagai kemudahan kesihatan di satu lokasi.
Ketika ini, Klinik Desa Bukit Fraser hanya menumpukan kepada perkhidmatan ibu dan anak manakala Klinik Kesihatan pula melayani pesakit luar.
“Kita bercadang menggabungkan semua kemudahan ini dalam satu bangunan baharu yang lengkap dan mesra pesakit. Permohonan akan diangkat kepada pihak kementerian dalam masa terdekat,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

