Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 JULAI 2025 : UCYP University menghasilkan usaha kreatif untuk mengangkat semula warisan tempatan menerusi pendekatan visual yang segar dan relevan melalui penghasilan komik interaktif berasaskan sejarah dan budaya Sungai Lembing.
Menurut satu kenyataan media oleh UCYP University komik interaktif ini juga bertujuan mengembalikan fungsi muzium sebagai pusat pendidikan tidak formal, pelestarian budaya dan ruang interaksi masyarakat.
“Sekumpulan pensyarah dan pelajar UCYP University telah melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi yang memfokuskan kepada penghasilan komik interaktif berasaskan sejarah dan budaya Sungai Lembing.
“Dilaksanakan di Muzium Sungai Lembing, projek ini merupakan usaha kreatif untuk mengangkat semula warisan tempatan menerusi pendekatan visual yang segar dan relevan dengan generasi masa kini.
“Inisiatif ini adalah hasil kolaborasi strategik antara UCYP University, Muzium Sungai Lembing dan komuniti setempat, yang turut bertujuan mengembalikan fungsi muzium sebagai pusat pendidikan tidak formal, pelestarian budaya dan ruang interaksi masyarakat,” katanya.
Menurut Encik Muhammad Harraz Rahimin, projek ini juga dapat membina hubungan dua hala antara pelajar dan komuniti melalui pendekatan interaktif yang melibatkan penerokaan artifak serta perkongsian kisah lisan.
“Projek bersama pelajar Sekolah Pascasiswazah UCYP University dari bidang Seni dan Reka Bentuk, bersama ahli projek merangkumi pelbagai jurusan termasuk Pengurusan Industri Peladangan dan Rekabentuk Fesyen, di bawah bimbingan pensyarah berpengalaman UCYP University.
“Kami ingin menjadikan muzium bukan sekadar ruang penyimpanan artifak, tetapi sebagai ruang yang hidup, tempat di mana kisah lama disampaikan semula dengan pendekatan yang lebih segar dan kreatif.
“Projek ini menggabungkan elemen seni, komunikasi dan pendidikan, sambil mengekalkan keaslian sejarah Sungai Lembing menerusi paparan kemajuan mekanisasi dan busana yang mencerminkan era kegemilangannya yang kaya dengan unsur sosio-ekonomi dan sosio-budaya.
“Lebih daripada sekadar kajian sejarah, projek ini membina hubungan dua hala antara pelajar dan komuniti melalui pendekatan interaktif yang melibatkan penerokaan artifak serta perkongsian kisah lisan,” katanya.
Beliau berkata komuniti setempat turut diberi peluang untuk menyumbang secara langsung kepada penghasilan naratif pameran yang menjadikan hasil akhir lebih bermakna dan inklusif.
Antara tokoh komuniti yang turut menyumbang kepada penghasilan naratif ini ialah generasi pelombong asal Sungai Lembing, Encik Irwan Yeow, yang berkongsi kisah keluarganya untuk dijadikan sebahagian daripada naratif pameran.
Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang mengharukan dan membanggakan kerana dapat melihat sejarah keluarganya diangkat dan dihargai oleh generasi muda.
Sementara itu, menurut wakil pegawai Muzium Sungai Lembing, Puan Wahidayu Jamaludin, pihaknya menyambut baik inisiatif ini yang disifatkan memberi nafas baharu kepada pendekatan muzium.
“Projek seperti ini memberi nafas baharu kepada pendekatan muzium. Ia bukan sahaja menyemarakkan minat generasi muda terhadap warisan, tetapi juga menyokong transformasi paparan muzium secara visual dan interaktif, sejajarndengan trend teknologi dan menyahut inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut juga, UCYP University bukan sahaja menerapkan elemen akademik berasaskan komuniti, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan, identiti nasional dan jalinan strategik antara institusi dan masyarakat dalam usaha memelihara warisan tempatan melalui projek ini.
“Lebih menarik, hasil projek ini akan dipertandingkan di Pertandingan Sulam Innovate Ke-3 (Sulam Ideation, Invention, and Innovation Challenge) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekaligus membuktikan bahawa inisiatif berasaskan komuniti ini mampu mencetuskan inovasi dalam pemeliharaan warisan budaya,” katanya. -PAHANGMEDIA

