Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Program pembangunan keusahawanan wanita yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan impak positif apabila terdapat peserta SuriTekno berjaya meningkatkan pendapatan bulanan daripada RM1,500 kepada RM5,000, iaitu peningkatan kira-kira 233 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan wanita itu bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran, malah memperluas pasaran dan membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima, sebahagian peserta turut melaporkan peningkatan pendapatan sehingga dua kali ganda selepas menyertai program berkenaan.
“Berdasarkan maklum balas peserta, program ini menunjukkan impak positif terhadap peningkatan pendapatan bulanan usahawan wanita.
“Antara pencapaian yang dilaporkan ialah peningkatan pendapatan sehingga dua kali ganda atau 100 peratus bagi sebahagian peserta, manakala terdapat juga peserta yang mencatatkan peningkatan daripada RM1,500 kepada RM5,000 sebulan, iaitu pertambahan RM3,500 atau kira-kira 233 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata SuriTekno merupakan antara program pembangunan keusahawanan wanita yang dilaksanakan menerusi Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang (UPWS), selain Wanita Digital Anggun (WANDA), Anggun Maju dan Festival Usahawan Wanita Pahang.
Katanya, seramai 878 usahawan wanita telah mendapat manfaat menerusi program WANDA yang memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran pemasaran digital termasuk penghasilan kandungan kreatif, penulisan serta teknik jualan secara langsung.
Selain itu, seramai 1,327 usahawan wanita turut mendapat manfaat menerusi Festival Usahawan Wanita Pahang yang menjadi platform mempromosikan produk, memperluas capaian pelanggan dan membina jaringan perniagaan.
Bagi program Anggun Maju pula, beliau berkata tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran dan peningkatan keupayaan ekonomi wanita menerusi latihan keusahawanan serta kemahiran praktikal bagi membuka peluang menjana pendapatan.
Menurutnya, pelaksanaan program-program berkenaan membuktikan kepentingan latihan kemahiran, pendigitalan perniagaan dan peluasan akses pasaran dalam memperkukuh keupayaan ekonomi usahawan wanita.
“Pelaksanaan program WANDA, Anggun Maju, SuriTekno dan Festival Usahawan Wanita Pahang telah menyumbang kepada usaha memperkukuh keupayaan ekonomi wanita melalui peningkatan kemahiran, pendigitalan perniagaan dan peluasan peluang pasaran.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan program pembangunan usahawan wanita dilaksanakan secara berfokus, berimpak dan berorientasikan hasil bagi meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan ekonomi wanita di Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

