Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 JULAI 2025 : Keupayaan Malaysia menjadi orang tengah di antara konflik antara Thailand dan Kemboja sehingga berjaya memeterai gencatan senjata merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan.
Menurut satu kenyataan media oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, langkah ini juga adalah sesuatu yang perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik.
“Justeru, langkah YAB Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN serta YB Menteri Luar yang memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja adalah sesuatu yang perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira ideologi politik.
“Kejayaan ini turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Keupayaan Malaysia mempertemukan pihak-pihak yang bertelagah sehingga berjaya memeterai gencatan senjata merupakan pencapaian yang harus dibanggakan oleh kita semua,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa konflik antara Thailand dan Kemboja tidak perlu disentuh dan dijadikan bahan politik oleh ahli politik di negara ini memandangkan ia merupakan isu yang serius.
“Saya berpandangan bahawa menjadi ahli politik tidak membawa maksud segala perkara harus dipolitikkan, apatah lagi apabila ia menyentuh hal-hal hubungan luar negara serta isu-isu kemanusiaan sejagat.
“Konflik antara Thailand dan Kemboja ketika ini merupakan isu yang serius dan berpotensi mencetuskan krisis serantau Asia Tenggara, termasuk memberi kesan langsung kepada Malaysia.
“Sejarah tidak boleh kita lupakan. Ketika era Perang Vietnam dan kekejaman Rejim Khmer Rouge dahulu, pantai-pantai negara kita terutamanya di Pantai Timur menjadi tempat perlindungan ribuan pelarian perang. Hari ini, kita masih menanggung kesan krisis pelarian Rohingya yang berpunca daripada penindasan junta tentera di Myanmar,” katanya.
Beliau berkata malangnya terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan ini yang dilihat tidak matang dan dangkal dari segi moral.
“Malangnya, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan ini termasuk dengan menggunakan perumpamaan yang biadab dan tidak mencerminkan akhlak serta nilai seorang pemimpin.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak matang, malah memperlihatkan kedangkalan moral dan intelektual apabila politik sempit dijadikan neraca kepada segala-galanya. Lebih mengecewakan apabila ia datang daripada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemar imej negara di mata dunia, malah mendedahkan betapa rendahnya komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat,” katanya.
Tambah beliau, UMNO menyeru semua pihak untuk menilai isu antarabangsa secara matang dan berhemah serta tidak meletakkan kepentingan politik melebihi nama baik negara.
“Justeru, UMNO menyeru semua pihak agar menilai isu-isu antarabangsa secara matang dan berhemah. Jangan sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global,” katanya. -PAHANGMEDIA

