Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus memperluaskan pemasangan tukun tiruan di perairan negeri ini, khususnya di kawasan pesisir pantai Pekan dan Rompin bagi meningkatkan sumber perikanan, memelihara ekosistem marin serta membantu menambah pendapatan nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, sebanyak 350 unit tukun tiruan pelbagai jenis termasuk tetrapod, kiub dan kuboid telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang di perairan negeri ini sejak 2007 hingga 2026.
Menurutnya, pemasangan tukun tiruan bukan sahaja menyediakan habitat perlindungan dan pembiakan ikan, malah berfungsi sebagai penghalang kepada aktiviti pukat tunda yang boleh menjejaskan sumber perikanan.
“Tukun tiruan bermanfaat untuk meningkatkan populasi ikan kerana menyediakan tempat perlindungan dan pembiakan penting kepada pelbagai spesies ikan.
“Ia juga berfungsi sebagai penghalang kepada aktiviti pukat tunda dengan memutuskan tali pukat apabila vesel berkenaan melalui kawasan yang menempatkan unit tukun tiruan.
“Dalam konteks ekonomi, kewujudan kawasan pembiakan ikan ini dapat meningkatkan kadar tangkapan dan seterusnya pendapatan nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak RM665,849.60 telah dibelanjakan bagi pembinaan dan pelabuhan 20 unit tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat, Rompin pada 19 Ogos lalu.
Selain itu, sebanyak RM280,980.70 turut dibelanjakan bagi pembinaan dan pelabuhan lapan unit tukun tiruan jenis kuboid juvenil penghalang pukat tunda di perairan Pantai Kempadang, Kuantan pada 19 Oktober lalu.
Katanya, kos pelaksanaan berkenaan merangkumi kerja pembinaan di tapak serta sewaan baj dan kren bagi mengangkut unit tukun tiruan ke lokasi pelabuhan.
Bagi tahun hadapan, Kerajaan Negeri merancang melabuhkan tukun tiruan konservasi jenis juvenil penghalang pukat tunda di perairan Taman Laut Pulau Labas dan Pulau Sepoi, Rompin menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM700,000.
Pada masa sama, Jabatan Perikanan Negeri Pahang turut bercadang memperluaskan pemasangan tukun tiruan di pesisir pantai Pekan dan Rompin menggunakan peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri bagi memberi manfaat kepada nelayan Zon A.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu pencerobohan nelayan asing, beliau berkata Kerajaan Negeri bersama agensi penguatkuasaan sentiasa mempertingkatkan pemantauan melalui penggunaan teknologi lebih canggih serta penambahan aset dan anggota.
Menurutnya, tindakan tegas termasuk penangkapan, rampasan dan pendakwaan turut dilaksanakan terhadap pihak yang didapati menceroboh perairan negara.
“Kerajaan Negeri juga telah menyatakan kepada Kementerian Pertanian di peringkat Persekutuan supaya peruntukan lebih tinggi disediakan bagi melindungi khazanah laut negara.
“Isu pencerobohan ini bukan hanya melibatkan negara kita, sebaliknya turut dihadapi negara lain. Justeru, ia memerlukan kerjasama penguatkuasaan dan persefahaman antara negara anggota ASEAN bagi memastikan perairan masing-masing dihormati,” katanya.
Tambah beliau, usaha pemantauan dan pemeliharaan sumber marin turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab penyelam serta persatuan rekreasi yang membantu agensi berkaitan menjaga kelestarian perairan negeri. -PAHANGMEDIA

