Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 JULAI 2025 : Pahang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion sehingga Jun lepas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang turut merekodkan pelaburan komited bernilai RM3.5 bilion dan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion.
“Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam menarik pelaburan ke negeri ini. Sehingga Jun 2025, Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion, sekali gus mengatasi negeri-negeri lain seperti Terengganu (RM1.3 bilion), dan Kelantan (RM1.1 bilion).
“Selain itu, bagi kategori pelaburan komited, Pahang merekodkan nilai RM3.5 bilion, menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan yang kondusif di negeri ini.
“Dalam pada itu, Pahang turut merekodkan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion. Ini membuktikan bahawa Pahang kini berada pada landasan yang kukuh sebagai sebuah negeri yang progresif, mesra pelabur dan semakin kompetitif,” katanya satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun lepas juga merupakan yang terbaik di Pantai Timur bernilai RM68.7 bilion, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus.
“Dari sudut prestasi ekonomi pula, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun 2024 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, terbaik di Pantai Timur.
“Malah sejak tahun 2018, KDNK negeri ini telah mencatat peningkatan sebanyak 23 peratus, bersamaan nilai kira-kira RM13 bilion, suatu refleksi kepada pelaksanaan dasar pembangunan yang strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), serta para pemain industri dan komuniti pelabur.
“Pelaburan ini memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor-sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan yang terus berkembang sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa kestabilan politik, dasar yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan yang mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan negeri,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam memperkasakan inisiatif bagi memudahcarakan pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek strategik, serta memperkukuh jaringan infrastruktur sokongan di seluruh negeri ini.
“Segala pencapaian ini adalah cerminan pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan pertumbuhan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat serta agihan kemakmuran secara adil dan menyeluruh.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus beriltizam memperkukuh dasar mesra pelaburan, meningkatkan daya saing ekonomi serta memastikan setiap rakyat Pahang mendapat manfaat langsung daripada kemajuan yang dicapai bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA

