Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 JULAI 2025 : 95 peratus kontraktor yang dilantik bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) berjaya menyelesaikan pembinaan dalam tempoh ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, rumah yang telah siap dibina juga dalam keadaan yang baik dan mendapat teguran yang minima setakat ini.
“Alhamdulillah setakat ini kontraktor untuk membina Rumah Rakyat Pahang ini saya dimaklumkan 95 peratus dapat menyiapkan rumah seperti yang dijadualkan.
“Kita dah bagitahu dah, untuk mendapat pula (pembinaan) lapan buah rumah pada tahun depan, rumah yang diberi tahun ini mesti disiapkan.

“Dan kualitinya sangat baik, complaint sangat minima. Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kontraktor-kontraktor di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata baki 5 peratus lagi disebabkan oleh masalah teknikal yang dialami pihak kontraktor, namun Kerajaan Negeri Pahang masih berkompromi dengan perkara ini dan beliau berpuas hati kemajuan dan hasil yang diberikan oleh pihak kontraktor dalam pembinaan rumah ini.
“Rumah-rumah Rakyat Pahang ini untuk kita bagi lapan buah rumah kepada setiap ADUN (setiap tahun), yang sebelum ini (rumah) harus disiapkan.
“Kalau tidak mereka tidak dapat peluang tersebut. Jadi yang 5 peratus itu adalah kadang-kadang ada masalah teknikal sedikit sahaja tetapi dapat juga disiapkan.

“Cuma mungkin terlewat sedikit tetapi masih lagi kita kompromi. Setakat ini saya berpuas hati. Alhamdulillah,” katanya.
Tambah beliau, kontraktor merupakan satu mekanisma penting dalam menyiapkan bangunan mengikut spesifikasi dan masa yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Alhamdulillah kebanyakannya tidaklah 100 peratus, tetapi boleh dikatakan melebihi 80 peratus kontraktor di Pahang ini terutamanya kontraktor Melayu dapat menyiapkan projek-projek seperti mana yang telah ditetapkan.

“Ini dapat saya lihat apabila contohnya Rumah Rakyat Pahang dan lain-lain projek dibawah seliaan JKR (Jabatan Kerja Raya) dapat disiapkan. Dan di Pahang ini saya telah menyatakan mana-mana kontraktor yang dapat menyiapkan mengikut jadual, kualitinya bagus, kita akan beri keutamaan sekiranya ada projek-projek lain.
“Kerana kita tidak mahu supaya mereka ini dah dapat menyiapkan kerja dengan cemerlang, tetapi kita harus beri reward mereka. Manakala kontraktor-kontraktor baru pun kita akan bimbing juga. Kita bagi juga kerja-kerja kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pahang Kali Ke-41 di Hotel Grand Darul Makmur.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

