Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JULAI 2025 : Pam air mentah di Rumah Pam Kobat telah kembali beroperasi pada 10.15 pagi selepas kerja baik pulih dan penyelenggaraan siap dilakukan pada 9.30 pagi tadi.
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, kerja baik pulih dan penyelenggaraan ini telah berjaya disiapkan lebih awal dari jangkaan.
“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ingin memaklumkan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan kesemua instrumen penting di Rumah Pam Kobat, Daerah Kuantan telah siap dilaksana pada jam 9.30 pagi, lebih awal daripada jangkaan asal.
“Kerja-kerja penyelenggaraan ini telah berjaya dilaksanakan dengan efisien dan tanpa sebarang insiden, sekali gus memastikan kelestarian bekalan air bagi Daerah Kuantan pada masa hadapan.
“Dengan selesai kerja-kerja pembaikan ini, pam air mentah di Rumah Pam Kobat telah kembali beroperasi pada jam 10.15 pagi dan sumber air mentah dihantar ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses sebagai air yang terawat,” katanya.


Beliau berkata proses pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan ia bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Tangki-tangki imbangan dan tangki simpanan telah dipenuhkan untuk membina tekanan dan aliran yang baik. Sehubungan dengan itu, pengguna dijangka akan kembali mendapat bekalan air secara berperingkat.
“Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga semua kawasan telah pulih bekalan air sepenuhnya,” katanya.
Beliau dalam kenyataan berkenaan turut melahirkan penghargaan dengan kesabaran dan kerjasama pengguna serta bantuan daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“PAIP amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini berlaku. Komitmen anda adalah dorongan buat kami menyempurnakan tugas ini dengan lebih cekap dan pantas.
“Penghargaan juga buat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas bantuan dan seliaan sepanjang operasi ini dijalankan.
“Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 18 jam sehari bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam,” katanya. -PAHANGMEDIA

