Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 09 JULAI 2025 : Dakwaan seorang remaja lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam berpunca daripada serangan buaya adalah tidak benar dan khabar angin sahaja.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah mendapat pengesahan daripada pegawai penyiasat berkenaan keadaan mangsa dan menyifatkan berita yang tular mengaitkan serangan buaya hanyalah sekadar khabar angin sahaja.
“Saya kini berada di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) dan berkesempatan menziarahi jenazah pelajar Tingkatan 3, Muhammad Isyraf Danish dan semalam dapati semasa memancing difahamkan mangsa jatuh ke dalam sungai dan tengah hari tadi jasadnya ditemui.
“Alhamdulillah jasadnya dalam keadaan yang baik. Saya nak beritahu berita-berita yang dikeluarkan mengatakan disebabkan oleh gigitan buaya apa semua, saya dapat buat pengesahan daripada pegawai penyiasat mengatakan tidak ada langsung kesan gigitan buaya pada tubuhnya. Yang disiarkan sebelum ini adalah khabar-khabar angin sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat keluarga remaja itu di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bersama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Beliau ketika ditemui berkata Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan kepada keluarga mangsa selain turut menyampaikan ucapan takziah diatas pemergian mangsa.
“Kita bagi bantuan awalan hari ini untuk pengurusan jenazah, dan selepas itu kita bagi sedikit lagi (kepada keluarga mangsa).
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan ucapan takziah dan kita dapat merasai kesedihan keluarga di atas kehilangan pelajar Tingkatan 3 di SMK Indera Mahkota 2,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa sekiranya diperlukan.
Media melaporkan mangsa disyaki lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama tiga rakannya pada 6.30 petang semalam sebelum ditemui pada 12.45 tengah hari kira-kira 500 meter dari tempat terjatuh hari ini. -PAHANGMEDIA

