Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 26 JUN 2025 : Perkhemahan Hari Puteri Peringkat Daerah Bera 2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pusat Kokurikulum Daerah Bera berjaya menghimpunkan seramai 248 pelajar dan 80 guru pengiring dari 31 buah sekolah rendah dan menengah sekitar daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, program berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang sangat signifikan dalam membentuk jati diri dan sahsiah generasi muda.
“Objektif utama perkhemahan ini amat signifikan dalam pembentukan jati diri anak-anak kita.

“Nilai seperti menghargai kebersamaan, semangat setia kawan, daya saing yang sihat serta penghayatan terhadap nilai-nilai keagamaan adalah tunjang utama dalam melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan juga intelek,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup perkhemahan berkenaan di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Daerah Bera, Puan Ainon Brahim.
Tambahnya lagi, perkhemahan kali ini amat bermakna kerana merupakan penganjuran pertama sejak 2016 ia diadakan semula di daerah Bera.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyediakan sebuah pusat khusus seperti ini bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan oleh NGO (badan bukan kerajaan) dan masyarakat setempat.

“Lokasi ini bukan sahaja menarik tetapi juga mencerminkan sokongan kerajaan dalam menyediakan ruang pembelajaran luar bilik darjah,” katanya.
YB. Dato’ Sabariah juga berkata, selaku pemimpin wanita di daerah ini, beliau berasa bangga melihat keterlibatan aktif golongan muda yang akan menjadi tonggak negara pada masa hadapan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan termasuk pertandingan gajet perkhemahan, gubahan dan masakan yang bukan sahaja mencungkil bakat serta kreativiti pelajar, malah menguji tahap kerjasama, kecekapan dan daya kepimpinan peserta.
Beliau turut berharap agar program seperti ini terus mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk pentadbiran sekolah, ibu bapa dan agensi kerajaan dalam memastikan pembangunan holistik anak-anak dapat diteruskan. -PAHANGMEDIA

