Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 JUN 2025 : Empat lelaki warganegara Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana melanggar syarat lesen nelayan tempatan kira-kira 2.6 batu nautika timur laut perairan Kuala Kuantan semalam.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab, kesemua mereka ditahan semasa rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C kerana melanggar syarat lesen kira-kira 2.6 batu nautika timur laut perairan Kuala Kuantan, pada pukul 8.15 pagi semalam.
“VNT terbabit bersama empat kru termasuk tekong dipercayai warganegara Myanmar berumur lingkungan 23 hingga 32 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menuju ke Kuala Kuantan sebelum ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris.
“Hasil pemeriksaan mendapati, VNT berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana malanggar syarat lesen iaitu tidak mempunyai permit kerja yang sah dan dibawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu gagal mengemukakan dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Selain itu, dokumen pengenalan diri yang dikemukakan oleh kesemua kru juga meragukan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 1.4 tan metrik hasil laut, selain peralatan menangkap ikan dan kesemua mereka diiringi masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Tambah beliau, pihak Maritim Malaysia terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram dan kemasukan vesel nelayan asing demi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan Negeri Pahang sentiasa terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan MERS 999 bagi tindakan lanjut,” katanya. -PAHANGMEDIA

