Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 26 JUN 2025 : Usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap rakyat negeri ini khususnya golongan kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri terbukti dengan semakin ramai penerima menerima Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pemberian rumah tersebut bukan sahaja memberi keselesaan, malah membantu menyelesaikan sebahagian masalah kehidupan golongan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sendiri dapat melihat betapa bersyukurnya mereka apabila menerima kunci rumah. Ada antara mereka tiada rumah sendiri, suami tiada, terpaksa berpindah-randah dan menyewa di sana sini.
“Kadang-kadang, mereka tidak mampu untuk membayar sewa. Dengan adanya rumah RRP ini, ia amat membantu dan memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima RRP di Kampung Batu Papan Tengah, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah kepada rakyat berpendapatan rendah akan terus dilaksanakan secara berterusan.
“Setiap tahun, Kerajaan Negeri menyediakan lapan buah rumah RRP bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.
Pada majlis tersebut, tiga buah rumah RRP diserahkan kepada penerima masing-masing iaitu dua unit di Padang Luas dan satu unit di Kampung Batu Papan Tengah.

Antara penerima, Suhana Yusof, 45, meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan kerajaan yang merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah sendiri.
“Memang seronok dan gembira sangat. Sebelum ini, kami tidak pernah ada rumah sendiri dan hanya menumpang di rumah ibu mertua. Kini, saya dan keluarga dapat tinggal di rumah sendiri hasil bantuan kerajaan,” katanya.
Ibu kepada dua anak lelaki berusia 17 dan 12 tahun itu berkata, rumah tiga bilik yang dibina di atas tanah pusaka arwah ibunya cukup selesa untuk mereka sekeluarga.
Suaminya, Rani @ Abdullah Rani Mohamad, 58, bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. -PAHANGMEDIA

