Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 JUN 2025 : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merupakan antara projek infrastruktur pengangkutan terbesar di negeri ini, dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laluan ECRL ini dijangka siap pada akhir tahun 2026 dan beroperasi pada awal tahun 2027.

“Alhamdulillah semuanya nampak dalam keadaan yang mengikut jadual yang dijangka akan siap pada akhir tahun depan dan beroperasi pada awal tahun 2027.
“Walau bagaimanapun tadi saya berkesempatan berborak dengan Dato’ Sri Darwis Abdul Razak (CEO ECRL, Kuantan), dia memaklumkan bahawa kemajuannya tepat pada masanya. Tetapi tidak mustahil mungkin akan boleh dipercepatkan lagi,” katanya.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail juga meminta supaya pembinaan ECRL ini dapat disiapkan lebih awal supaya dapat memberi manfaat lebih kepada rakyat.
“Saya berharap dan juga mencadangkan supaya ianya dapat disiap lebih awal kerana kalau ianya dapat disiap lebih awal, ini akan memberi kemudahan kepada rakyat Pahang dan dalam pada masa yang dapat mengurangkan kesesakan lalu tintas terutamanya di Lebuh Raya Karak,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan dalam radius 15 kilometer dari stesen ECRL bukan sahaja berpotensi mewujudkan peluang perniagaan baharu, malah dapat memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan tekanan dalam kalangan pengguna.
“Kita akan kenalkan sebagai pembangunan perniagaan dan sekarang ini kerajaan negeri akan lancarkan dalam masa terdekat Pangsapuri Pahang di Bentong.

“Ini memberi kemudahan kepada mereka yang duduk di Kuala Lumpur. Duduk di Bentong boleh berulang alik sahaja. Masanya tak sampai 20 minit,” tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Tapak Projek Stesen ECRL di Gebeng di sini hari ini.
Beliau dalam lawatan tersebut turut menaiki tren dari stesen KotaSAS ke Gebeng bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak.- PAHANGMEDIA

