Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 APRIL 2026 : Penjawat awam Negeri Pahang menyambut baik pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) selama dua hari seminggu seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri semalam.
Menurut Puan Madianatul Arafah Ahmad Rosdi dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang pelaksanaan berkenaan dapat membantu keseimbangan hidup dan kos harian penjawat awam negeri ini.

“Penjawat awam secara keseluruhannya menyambut baik atas cadangan work from home ini kerana ia membantu keseimbangan hidup dan kos seharian.
“Namun pelaksanaannya perlulah bersesuaian dengan fungsi jabatan dan yang paling penting perlu mengekalkan disiplin serta produktiviti supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas. Terima kasih Tok Wan.
“Menyambut baiklah cadangan itu kerana pada pendapat saya dengan kos bahan api yang makin meningkat sekarang dan kita tak tahu sampai bila, dan saya rasa itu keputusan yang paling baiklah. Kita menyambut baik cadangan kerajaan negeri itu,” katanya.

Sementara itu, menurut Encik Muhammad Ariff Mazlan dari Unit Pengurusan Aset, Bangunan dan Keselamatan, dasar ini merupakan satu inisiatif baharu yang sangat bagus dalam membantu rakyat.
“Bagi saya, benda ni, dasar yang baru ni satu inisiatif baru yang sangat bagus yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang sebab dapat membantu dari segi meringankan beban rakyat terutamanya penggunaan minyak petrol.

“Yang kita tahu isu Timur Tengah sekarang tengah panas. Jadi, minyak dan dari segi tenaga elektrik, pejabat pun boleh dikurangkan sebab gilir-gilir masuk pejabat. Setakat ini, di Bahagian Khidmat Pengurusan, saya tengok semua menyambut baik perkara ini,” katanya.
Menurut Encik Mohd Faizul Mustapa dari Bahagian Khidmat Pengurusan, pelaksanaan dasar ini amat disambut baik memandangkan ia dapat menjimatkan kos bahan api yang digunakan.
“Saya amat bersetujulah saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang menyatakan kepada semua penjawat awam supaya BDR (Bekerja Dari Rumah) dua hari seminggu.

“Susulan pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang itu, ia boleh menjimatkan bahan api kepada semua penjawat awam di Negeri Pahang khususnya.
“Ramailah yang menyatakan mengenai saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang itu, dia orang mengatakan amat amat bersetujulah perkara tersebut direalisasikan kepada pejawat awam di Negeri Pahang khususnya,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang semalam mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan Kerajaan Negeri Pahang, berkuat kuasa mulai minggu hadapan sebagai langkah prihatin Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan. -PAHANGMEDIA

