Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 04 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong pelaksanaan program melibatkan sektor kreatif terutamanya bagi menonjolkan bakat dan kreativiti para pelajar.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah UCYP University, YH. Dato’ Nor Azita Abdul Rahman, ia juga dapat mencerminkan keupayaan institusi dalam melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif serta berdaya kepimpinan.
“Majlis ini merupakan inisiatif dari Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership (TGS-ISL) dalam menghimpunkan penggiat seni dari kalangan pelajar dan pelatih industri.

“Inisiatif ini juga adalah aspek penting yang perlu diterapkan dalam setiap insan seni yang ingin memberi impak kepada komuniti dan industri.
“Penganjuran bersama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang membuktikan komitmen jitu Kerajaan Negeri dalam menyokong pelaksanaan program yang menggabungkan teori dan praktikal,” katanya.
Beliau berkata platform seperti ini juga akan terus menjadi ruang yang subur untuk kolaborasi merentas bidang serta membina jaringan strategik antara institusi, industri dan komuniti.
“Program ini turut mendapat sokongan dan penglibatan aktif daripada para pelajar dan pensyarah UCYP University serta Kolej Yayasan Pahang (KYP), menjadikannya satu kolaborasi yang signifikan antara institusi pengajian dan kerajaan negeri.

“Culture, Leadership, Art Pahang Symposium 2025 (CLAPS 2025) merupakan simposium yang mempamerkan hubungan antara reka bentuk, fesyen, seni, dan kepimpinan dalam konteks dunia yang sentiasa berubah.
“Simposium ini bakal memberi tumpuan kepada peranan kepimpinan dalam sektor kreatif bagi mendorong perubahan positif, serta bagaimana inovasi melalui reka bentuk mampu mencorak naratif sosial dan budaya yang lebih dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Culture, Leadership & Art Pahang Symposium (CLAPS 25), Final Exhibition, Assessment & Presentation (FEXA) dan Art & Creative Design Diploma Showcase (IDEAS 33) di UCYP University hari ini. -PAHANGMEDIA

