Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 02 JUN 2025 : Kerja penggantian kabel Gentian Plastik Fiber (FRP) kepada bahan yang lebih kuat akan dimulakan di Kampung Gusai melibatkan enam lokasi sejauh 8 kilometer bermula hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia bagi menggantikan kabel yang kerap dirosakkan oleh haiwan sehingga mengakibatkan gangguan kepada capaian telekomunikasi di kawasan berkenaan.
“Lawatan hari ini melibatkan menara telekomunikasi Kampung Gusai yang letaknya di penghujung atau paling dalam di mukim Hulu Tembeling ini. Kawasan ini merupakan kawas paling kerap kita terima aduan gangguan daripada kabel yang digigit tupai, digayut oleh monyet, dan juga haiwan liar yang lain.

“Dan penjelasan daripada pihak FibreComm, penggantian kabel yang lebih berketahanan ini akan bermula dari Kampung Gusai sepanjang 8 kilometer, dan lokasi terakhir adalah di Kem Nusa.
“Dan kerja-kerja ini akan bermula hari ini juga dan mengambil tempoh masa sebulan lebih sikit. Jadi kita optimis bahawa ia akan selesai sepenuhnya sebelum Ogos tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, kabel baharu yang lebih keras dan kuat ini diharapkan dapat menyelesaikan isu gangguan capaian telekomunikasi di kawasan terlibat.
“KIta harap sangat dengan penggantian kabel yang baru ini, katanya lebih keras plastik di dalam kabel, jadi diharapkan boleh menyelesaikan isu gangguan ekoran daripada gigitan tupai, gayutan monyet, dan juga gajah yang merosakkan joint,” katanya.

Beliau berkata kawasan terlibat penggantian kabel baharu ini melibatkan kawasan sejauh 120
kilometer secara keseluruhan melibatkan Bandar Jerantut sehingga ke Kampung Gusai yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat menara telekomunikasi Kampung Gusai bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).
Turut hadir, Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, YBhg. Tuan Haji Bukhari Yahya; dan Pengarah MCMC Negeri Pahang, YBrs. Encik Shahrizal Husin. -PAHANGMEDIA

