Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 23 OKTOBER 2026 : Program JELITA Pahang, Wanita Berilmu, Komuniti Berdaya 2026: DU-IT NOW menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantu memperkasakan wanita di Pahang dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan, khususnya melalui platform dalam talian.
Pengerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, YB Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata, perkembangan teknologi digital ketika ini mendorong wanita menguasai perniagaan dalam talian bagi merebut peluang dalam ekonomi digital.

“Dengan perkembangan teknologi dan penggunaan teknologi maklumat ketika ini, kita mahu memastikan wanita di Pahang tidak ketinggalan, sebaliknya turut mempelajari selok-belok perniagaan dalam talian serta e-dagang.
“Pada masa ini, perniagaan dalam talian semakin meluas digunakan. Justeru, kita memberikan pendedahan kepada golongan wanita dengan melibatkan pakar dalam bidang berkaitan.
“Antaranya, pensyarah UiTM yang memberikan pengajaran, selain menjemput pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) dan agensi berkaitan untuk berkongsi ilmu mengenai teknologi terkini serta risiko penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program JELITA Pahang, Wanita Berilmu, Komuniti Berdaya 2026: DU-IT NOW di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub, di sini, hari ini.
Menurutnya, peserta turut diberikan pendedahan mengenai risiko penipuan dalam talian menerusi modul yang disediakan UiTM bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan mereka ketika menjalankan perniagaan.
“Salah satu modul yang disediakan pihak UiTM ialah berkaitan penipuan dalam talian. Peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk penipuan supaya mereka lebih berhati-hati kerana risiko ini boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Selain itu, aspek literasi kewangan turut diberikan penekanan bagi memastikan wanita dapat mengurus keuntungan dengan baik dan tidak mencampuradukkan wang peribadi dengan wang perniagaan.
“Melalui pendedahan ini, kita berharap mereka menjadi lebih efektif, efisien dan bersemangat untuk mengembangkan perniagaan, sama ada secara dalam talian mahupun fizikal,” katanya.-PAHANGMEDIA

