Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memberi perhatian kepada perancangan pembangunan jangka panjang, termasuk memperkukuh rangkaian pengangkutan bagi meningkatkan kemudahan pergerakan rakyat.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perancangan awal penting bagi meluaskan jaringan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan pembangunan negeri lebih tersusun serta memenuhi keperluan masa depan.
“Itu perancangan kita, kita telah memohon, kita telah beritahu PLAN Malaysia untuk masa depan, dalam perancangan struktur negeri. Sebabnya saya tak nak berlaku bila minta baru kita berikan cadangan. Sekarang ini mereka tak minta lagi, kita dah kemukakan cadangan. Kita dah masukkan untuk plan masa depan.
“Untuk masa depan, kita ke arah itu, rangkaian pengangkutan, jadi memudahkan mobiliti penduduk. Kita usahalah. Tapi ini menunjukkan bahawa kita ada perancangan sesuai dengan Hari Perancangan Bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini.
Dalam majlis sama, beliau turut melahirkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengembalikan landasan projek ECRL kepada landasan berkembar seperti mana kelulusan yang diberikan sebelum ini.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Hakim Syarie Pahang Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, YAA. Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan; dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia PAHANG), YBrs. TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim. -PAHANGMEDIA

