Oleh: Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 23 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang bakal meningkatkan peruntukan kepada koperasi masjid di negeri ini kepada RM1 juta berbanding RM600,000 pada tahun lalu bagi memperkukuh aktiviti ekonomi dan pembangunan komuniti setempat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu koperasi masjid berkembang, sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai gerakan koperasi.
Beliau berkata, koperasi masjid di negeri ini menunjukkan perkembangan positif dengan kebanyakan koperasi yang ditubuhkan bergerak aktif dan lancar.

“Syabas dan tahniah kepada koperasi-koperasi masjid yang setakat ini berjalan dengan lancar dan aktif. Kita berharap lebih ramai masyarakat akan menyertai koperasi pada masa akan datang.
“Penubuhan koperasi juga memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan dana bagi menyokong perkembangan aktiviti ekonomi mereka.
“Tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 kepada koperasi masjid dan tahun ini, insya-Allah, jumlah itu akan ditingkatkan kepada RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di Hotel Ancasa, di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam menguruskan perkara itu untuk dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Pahang pada penghujung November ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YBhg. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah; dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), YBhg. Tuan Haji Efendee O.P. Andu.
Beliau berkata, koperasi masjid di Pahang kini mempunyai kira-kira 7,000 anggota dengan modal terkumpul sekitar RM2 juta, aset bernilai RM5.4 juta serta pendapatan aktiviti berjumlah RM2.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025.
Katanya, koperasi masjid merupakan platform penting untuk memperkasa peranan institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
Menurutnya, masjid yang dilengkapi pelbagai kemudahan berpotensi menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat, sekali gus memudahkan pelaksanaan aktiviti pendidikan, sosial dan keusahawanan.
Kemudahan seperti ruang memasak, tempat makan dan kawasan parkir turut memberi kelebihan kepada masjid untuk menjadi tumpuan komuniti, manakala aktiviti perniagaan koperasi seperti pembungkusan semula produk makanan, penjualan sambal hitam dan barangan runcit berpotensi menjana pendapatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu melihat pertambahan koperasi masjid secara berterusan bagi memastikan lebih banyak masjid memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat.
“Kita akan usahakan pertambahan dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu kekal dengan status quo, sebaliknya mahu lebih banyak masjid memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat,” katanya.-PAHANGMEDIA

