Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 8 MEI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan tanah secara haram dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Titah Paduka Baginda lagi, tindakan yang diambil juga harus dilakukan secara berhemah dan berdisiplin sekali gus turut menzahirkan penghargaan atas usaha yang telah dilakukan Kerajaan Negeri Pahang dan pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Seperti yang telah saya nyatakan dalam Dewan Negeri tempoh hari, saya berkehendakkan amalan aktiviti pencerobohan ini dinoktahkan dengan sebaik dan secepat mungkin.

“Ini tidak boleh kita biarkan, bukan sahaja di Raub malah juga seluruh kawasan di negeri Pahang ini. Sudah banyak rungutan dan laporan yang saya dapat dan ini agak merunsingkan serta tidak mencerminkan sebenar tahap pentadbiran tanah di negeri Pahang ini,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan haram durian Musang King yang terletak di Hutan Simpan Sungai Klau, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, Ketua UPNP, Encik Saifullah Muhammad Ali dalam persembahan penerangannya memaklumkan terdapat lima perancangan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak UPNP iaitu tindakan penguatkuasaan pemusnahan susulan; sekatan dan kawasan durian haram; pemusnahan penempatan dan struktur pertanian; kerjasama dengan Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN); dan pemantauan kawasan durian haram raub dengan imej satelit.
“Sejurus selesai pemusnahan 500 ekar durian haram yang lalu, pihak berkuasa negeri (PBN) memberi masa dan peluang kepada pekebun haram untuk menyertai skim pemutihan dan sekiranya masih tiada hasil yang positif selepas dua atau tiga bulan, UPNP akan syor tindakan pemusnahan tambahan 500 ekar lagi dilaksanakan dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.
“Selain itu, dalam tempoh segera sekarang, cadangan dilaksanakan sekatan dan kawalan dalam kawasan durian haram yang masih tiada keputusan bertujuan memberi tekanan kepada pekebun haram untuk menyertai skim pemutihan yang ditawarkan PBN,” katanya.

Tambahnya, UPNP turut mencadangkan untuk memusnahkan semua pondok pertanian dan sitaan semua peralatan pertanian dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih tiada keputusan bagi menghalang pekerja bersembunyi di kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan.
“Kita turut mencadangkan penggunaan perkhidmatan imej satelit ‘real-time’, dengan langganan perkhidmatan seperti planet.com. Pada masa ini, pemantauan imej satelit hanya menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia, iaitu sistem e-unified, sistem ini bagus dan juga banyak membantu dalam tindakan penguatkuasaan, tetapi imej satelit yang dibekalkan terdapat ‘lag’ dan bukan bersifat ‘real-time’ menyukarkan sedikit tindakan penguatkuasaan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

