Oleh : Ain Nadhirah Basha & Nadiatul Izzati Baharudin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 MEI 2025 : Lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen Malaysia ke negeri ini disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pembangunan dan kedudukan kewangan yang kukuh di Pahang.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen, lawatan ini juga sebagai komunikasi dua hala antara pihak jawatankuasa dengan Kerajaan Negeri Pahang berkenaan pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).

“Dalam lawatan tersebut ahli-ahli parlimen yang hadir melahirkan rasa gembira kerana Kerajaan Negeri Pahang mampu untuk membina sebuah bangunan seperti PPSAS ini.
“Mereka juga melahirkan harapan untuk kembali melawat Dewan Undangan Negeri Pahang yang baru setelah siap pembinaannya nanti dan ia menunjukkan keadaan stabil di negeri ini selain kestabilan kedudukan kewangan negeri.
“Dalam perbualan saya bersama mereka, mereka recognize apa yang Kerajaan Negeri telah buat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen Malaysia di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) hari ini.
Delegasi lawatan berkenaan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa berkenaan yang merupakan Ahli Parlimen Ranau, YB. Dato’ Jonathan Yasin, bersama Timbalan Pengerusinya, YB. Dato’ Sri Sh Fuzi Sh Ali yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Labis, YB. Tuan Pok Hong Liong: Ahli Parlimen Ketereh, YB. Dato’ Khir Mohd Nor; dan Ahli Parlimen Ledang, YB. Tuan Syed Ibrahim Syed Noh. -PAHANGMEDIA

