Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 8 MEI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar penerokaan tanah haram perlu dinoktahkan dan diselesaikan secara terbaik.
Titah Paduka Baginda, untuk menoktahkan penerokaan haram berkenaan perlulah dilakukan secara berperingkat.
“Dan kalau ini dibiarkan seolah kita tidak ada pihak berkuasa, tidak ada Pejabat Hutan, tidak ada Pejabat Tanah, tidak ada Pejabat Menteri Besar dan sebagainya. Jadi kita harus memahami hakikat itu yang sebenarnya.

“Mana pihak yang nak membuat permohonan, silalah buat permohonan secara rasmi melalui proses-proses yang ditentukan oleh pihak kerajaan,” titah Paduka Baginda ketika berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan haram durian Musang King yang terletak di Hutan Simpan Sungai Klau, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Baginda bertitah, pencerobohan mesti dihentikan dan mungkin hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada peneroka haram.
“Tidak boleh secara mengejut dan sekali gus itu mungkin susah sikitlah. Sekurangnya ada haluan ke situ… untuk dinoktahkan… ada hala tuju. Kalau tidak ada hala tuju, pencerobohan ini akan berterusan.
“Pencerobohan mesti dihentikan dan kalau tidak, tindakan-tindakan sewajarnya akan diambil dan mungkin hukuman yang lebih berat akan ditimpa kepada peneroka-peneroka haram ini. Saya nak mengingatkan kepada mereka, kita ada undang-undang di negeri Pahang ini,” tegas Paduka Baginda lagi.

Dalam sidang media berkenaan Paduka Baginda turut menzahirkan rasa terkejut atas angka yang dinyatakan berkaitan keluasan tanah yang diteroka oleh peneroka haram.
“Saya terkejut dari segi keluasan yang disebut tadi. 26,000 ekar (10,600 hektar). Begitu terkejut dengan angka yang dikeluarkan tadi. Itu di daerah Raub sahaja.
“Ini satu angka yang agak besar namun tindakan seterusnya perlu dibuat dan saya harap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan, aktiviti haram ini diteruskan,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

