Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2025 : Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen Malaysia mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri ini bagi meninjau pelaksanaan aspek keselamatan yang melibatkan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Delegasi lawatan berkenaan diketuai oleh Ahli Parlimen Ranau, YB Dato’ Jonathan Yasin, selaku Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, bersama Timbalan Pengerusi, YB Dato’ Sri Sh Fuzi Sh Ali yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Labis, YB Tuan Pok Hong Liong: YB Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khir Mohd Nor; dan Ahli Parlimen Ledang, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, delegasi berkenaan akan meneruskan lawatan esok ke beberapa jabatan dan agensi termasuk menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Imigresen Negeri Pahang.

“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menyemak prestasi agensi berkaitan aspek keselamatan negara termasuk keselamatan sivil dan kedaulatan negara,” katanya ketika Jamuan Makan Malam bersama delegasi berkenaan bertempat di Menara Kuantan 188, di sini, malam tadi.
Tambahnya, pihak Dewan Negeri Pahang berbesar hati menerima kunjungan tersebut dan mengucapkan penghargaan atas pemilihan negeri ini sebagai lokasi lawatan kerja.
“Mereka akan mengadakan lawatan ke Dewan Negeri Pahang esok dan akan diberikan taklimat sedikit sebanyak tentang perkembangan kita di sini.
“Kita harap sepanjang berada di sini, mereka dapat menikmati keunikan sajian tradisional Pahang dan melihat keindahan Bandar Kuantan terutamanya di Menara Kuantan 188 pada waktu malam,” ujarnya.
Lawatan terbabit dijangka memberi input yang berguna kepada Jawatankuasa berkenaan dalam merumuskan cadangan penambahbaikan dasar serta prestasi agensi keselamatan di peringkat nasional. -PAHANGMEDIA

