Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif dengan menggandakan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang daripada RM30,000 kepada RM60,000.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang diberikan itu meningkat 100 peratus berbanding sebelumnya.
“Kita tambah 100 peratus dari peruntukan sebelum ini, daripada RM30,000 kepada RM60,000 dan baru-baru ini peruntukan Aidilfitri pun kita bagi,” katanya kepada media selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berlangsung di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa DUN Pahang telah meluluskan pelantikan dua orang Senator baharu bagi mewakili negeri ini di Dewan Negara susulan tamat tempoh pelantikan Senator sebelum ini.
Katanya, Negeri Pahang mempunyai dua kuota Senator, dan pelantikan kali ini melibatkan seorang wakil wanita dan seorang wakil daripada masyarakat Orang Asli.
“Kita lantiklah seorang daripada masyarakat Orang Asli, seorang lagi dari wanita, tapi ini bukan (kriteria) semestinya tapi atas persetujuan bersama yang Kerajaan Negeri fikirkan boleh membantu negeri,” katanya lagi.
Senator pertama ialah Puan Norhasmimi Abdul Ghani yang berasal dari Jerantut, Pahang. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Undang-Undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang dari tahun 2001 hingga 2008. Beliau kemudian menyertai Jabatan Perdana Menteri sebagai Pegawai Seranta (FELDA) dari tahun 2008 hingga 2018.
Pada tahun 2019, Puan Norhasmimi berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), sebelum menyertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang sebagai Ketua Unit Wanita dan Sosial dari tahun 2020 hingga 2022. Kini beliau menjalankan perniagaan sendiri serta aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Senator kedua pula ialah Encik Shahrol Wizan Sulong, seorang anak jati Temerloh yang merupakan Ketua Umum Penyelaras Pembangunan Masyarakat Asli Pahang (PEPIMA).
Beliau berkelulusan dalam bidang dakwah dan pengajian Islam daripada Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi dan Pusat Pengajian Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA), Pahang.
Encik Shahrol Wizan kini berkhidmat sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli Pahang di bawah Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan Yayasan Pahang, di samping memegang pelbagai jawatan dalam organisasi berkaitan masyarakat Orang Asli, termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Penderas dan Pengerusi Persatuan Pendakwah Orang Asli Islam Malaysia.-PAHANGMEDIA

