Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LIPIS, 26 APRIL 2025 : Seorang lelaki warga asing direman empat hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan kes perlombongan emas secara haram di Kampung Temin, di sini.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Saifullah Muhammad Ali, perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Bentong, Puan Nuur Fakhizaa Abu Bakar supaya siasatan terhadap tertuduh disiapkan serta untuk mengesan individu-individu lain yang terlibat dalam aktiviti perlombongan haram itu.

Menurut beliau, tangkapan terhadap lelaki berkenaan dilakukan oleh pasukan Skuad Elit UPNP (Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang) pada serbuan lebih kurang 2 petang ketika sedang melakukan aktiviti perlombongan dengan menggunakan sebuah jentera jengkaut, palong dan pam air bersama empat individu lain.
“Anggota serbuan berjaya menahan seorang individu warganegara Indonesia yang sedang mencuci palong untuk menapis mineral disyaki emas. Manakala empat individu lain berjaya melarikan diri. Jentera jengkaut tersebut telah disita dan ditahan oleh UPNP.

“Semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian Pahang mendapati tiada sebarang kebenaran atau permit dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi aktiviti perlombongan di situ. Anggota serbuan telah menahan warga Indonesia terbabit dan ditempatkan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis,” katanya.
Beliau berkata, penahanan reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang iaitu melombong tanpa kebenaran yang sah yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang pada 2021 bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri ini. -PAHANGMEDIA

