Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Utama Syariah, menjadikan Pahang sebagai negeri kedua di Malaysia yang memperkenalkan sistem kehakiman syariah dengan empat peringkat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RUU berkenaan membuka ruang kepada rakyat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah ke peringkat lebih tinggi iaitu Mahkamah Utama Syariah.
“Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada rakyat membawa kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah untuk dirayu ke Mahkamah Utama. Dengan kelulusan ini, kita kini mempunyai empat peringkat dalam sistem kehakiman syariah,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sebelum ini katanya, sistem kehakiman syariah di negeri ini hanya merangkumi tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy lagi, kelulusan RUU tersebut juga membuka laluan kepada penubuhan Mahkamah Utama Syariah secara rasmi di negeri ini.
“Walaupun pada masa ini kompleks mahkamah itu belum wujud, namun dengan adanya enakmen ini, kita sudah boleh merancang pembinaannya,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, dalam mengemukakan permohonan Enakmen Mahkamah Syariah Pahang 2025 dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini, berkata permohonan berkenaan adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa dan bidang kuasa mahkamah syariah di bawah bidang kuasa eksklusif negeri.
Katanya, ia juga berperanan dalam melaksanakan doktrin pengasingan kuasa antara hal ehwal pentadbiran agama Islam dengan pentadbiran keadilan, selaras dengan semua peruntukan Bahagian III Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 (Enakmen Nombor 3 Tahun 1991) yang berkaitan mahkamah syariah dan akan dimansuhkan.
Selain itu, katanya, pewujudan Mahkamah Utama Syariah dapat meningkatkan kredibiliti, kedudukan dan imej mahkamah syariah agar tidak jauh beza dengan Mahkamah Sivil yang mempunyai lima peringkat. Struktur baharu mahkamah syariah yang dicadangkan iaitu Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.
“Pewujudan Mahkamah Utama Syariah akan dapat memberi keadilan dan satu peluang kepada pihak yang terkilan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Pahang. Ia juga akan menyediakan hakim syarie yang berpengalaman, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi pada masa hadapan, serta menambah baik dan memperluaskan skim penjawatan pegawai syariah sedia ada,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

