Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited menyelesaikan isu bekalan air dengan pelaksanaan 10 projek penting yang telah siap dilaksanakan sehingga suku kedua tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara projek yang telah disiapkan termasuklah kerja-kerja penukaran pam air mentah dan pam air bersih di Loji Lubuk Kawah, Temerloh yang merupakan loji kedua terbesar di negeri ini dengan peningkatan kapasiti sebanyak 500 meter padu sejam.
“Projek lain turut merangkumi kerja merekabentuk, membina, menyiapkan dan mentauliah pemasangan paip air menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) dari Kampung Tanjung Api ke kawasan Hujung Tanjung, Tanjung Lumpur, Kuantan,” katanya demikian semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu, beberapa projek turut dilaksanakan di daerah lain antaranya pemasangan paip bersaiz 300 milimeter (mm) di Felda Selancar 3 dan Tangki Chanis, Daerah Rompin; kerja pemasangan paip dari Tanjung Agas ke Kampung Sekukuh serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Pekan; serta pembinaan Tangki Sedutan dan Rumah Pam Penggalak lengkap dengan sistem pengepaman di Tangki Kampung Temai, Daerah Pekan.
Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 217 projek telah diumumkan di bawah Fasa 1 pembangunan bekalan air Negeri Pahang membabitkan peruntukan RM2.6 bilion.
“Sehingga kini, 114 projek telah siap dilaksanakan, 32 sedang dalam pembinaan manakala 71 projek berada di peringkat pra-pembinaan,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua projek ini dipantau secara rapi dan beliau sendiri turun padang ke setiap daerah bagi melihat perkembangan dan perubahan yang berlaku khususnya di kawasan yang terjejas sebelum ini.
Mengulas mengenai cabaran Non-Revenue Water (NRW), beliau berkata meskipun Perbadanan Air Pahang (PAIP) menerima peruntukan RM75 juta daripada Kerajaan Persekutuan, namun pakej tersebut tidak melibatkan penggantian paip usang.
“Pahang memiliki 7,238 kilometer paip air yang telah berusia lebih 35 tahun. Kos untuk menggantikan keseluruhan jaringan ini dianggarkan hampir mencecah RM3 bilion,” katanya.
Setakat ini, menerusi peruntukan dalaman, 154 kilometer paip usang telah berjaya digantikan.
“Mulai tahun ini, PAIP akan melaksanakan kerja-kerja penggantian paip sepanjang 713.2 kilometer menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM205 juta dan pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM134.6 juta,” katanya.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menegaskan bahawa meskipun masalah masih wujud, namun keadaan menunjukkan perkembangan positif.
“Berilah kami ruang dan masa agar usaha yang sedang giat dilaksanakan ini terus membuahkan hasil,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, agar bersatu hati dan mendoakan kelancaran pelaksanaan perancangan yang dirancang.
“Insya-Allah, dengan kerjasama dan komitmen berterusan, hasrat Kerajaan untuk menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air Negeri Pahang menjelang akhir tahun 2026 akan menjadi kenyataan,” katanya. -PAHANGMEDIA

