Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang untuk mewujudkan Konsortium Perkapalan Timur bagi penghantaran barang dari Pantai Timur ke negeri dan negara luar.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, ia juga bagi meningkatkan rangsangan ekonomi Negeri Pahang memandangkan pemain industri menggunakan pelabuhan lain bagi memasarkan barangan mereka.
“Untuk meningkatkan rangsangan ekonomi Negeri Pahang, perkhidmatan Konsortium Perkapalan Timur perlu diwujudkan selain daripada jaringan kemudahan perhubungan yang sedia ada seperti KTMB, ECRL, Lebuhraya LPT.
“Perkhidmatan konsortium ini akan menggunakan Pelabuhan Kuantan untuk penghantaran barangan dari Pantai Timur khususnya Pahang ke Sabah, Sarawak dan negara luar.
“Pada ketika ini, tiada perkhidmatan khusus untuk membuat penghantaran barangan kontena ke sana malah pemain industri menggunakan Pelabuhan Klang dan pelabuhan lain untuk memasarkan barangan mereka,” katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan perkapalan ini amat diperlukan kerana ia dilihat dapat menghubungkan kegiatan ekonomi dan merangsang pelaburan melalui pembangunan sektor perkilangan di negeri ini memandangkan lokasi Pelabuhan Kuantan yang strategik.
“Seterusnya, bagi merangsang pelaburan dengan pembangunan kilang-kilang di Pahang, perkhidmatan kapal yang kerap sangat diperlukan bagi memastikan penghantaran lebih efisyen, kos penghantaran yang lebih rendah dan menarik minat para pemain industri untuk menggunakan Pelabuhan Kuantan.
“Hal ini dikatakan demikian kerana kedudukan Pelabuhan Kuantan lebih strategik iaitu jarak antara Pelabuhan Kuantan dengan Sabah, Sarawak dan Malaysia Timur seperti China, Taiwan dan Jepun adalah lebih dekat berbanding dengan Pelabuhan Klang.
“Kesannya, masa penghantaran lebih pantas dan kos logistik lebih rendah. Tambahan lagi, ia dapat memanfaatkan pemain industri, termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk peningkatan pemasaran produk mereka pada masa akan datang malahan mampu membantu meningkatkan ekonomi Negeri Pahang, dengan menyokong pembangunan Economic Acceleration Project (EAP) dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar ECRL dan zon industri setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

